GAYA HIDUP

Malam Bulan Di Pagar Bintang 2.0 Bakal Memukau Dengan Tarian Kontemporari

28/01/2025 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Sutra Foundation bakal sekali lagi memukau peminat seni tari menerusi produksi yang dinanti-nantikan Malam Bulan di Pagar Bintang 2.0, persembahan tarian moden kontemporari, yang dijadualkan dari 31 Jan hingga 2 Feb ini di Auditorium Shantanand, Temple of Fine Arts, Brickfields.

Diarahkan dan dikoreografikan oleh ikon tarian terkenal Malaysia Datuk Ramli Ibrahim, produksi ini menampilkan tiga persembahan yang berbeza - Revelling, Stand by Me dan tema persembahan Malam Bulan di Pagar Bintang.

Disokong oleh Yayasan Hasanah di bawah inisiatif Arts for All Seasons (ArtsFAS) 2024 dengan kerjasama Kementerian Kewangan, persembahan ini mencerminkan komitmen berterusan Sutra Foundation dalam  mentakrifkan semula kemodenan menerusi perspektif Asia.

pic-2

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, Ramli, penerima pelbagai anugerah termasuk Padma Shri dari India dan Warisan Kebangsaan Orang Hidup negara, meluahkan rasa bangga dapat mempersembahkan sebuah produksi yang bukan sahaja dekat di hati rakyat Malaysia, tetapi juga mengangkat warisan seni negara ke peringkat global.

Program akan dimulakan dengan Revelling, sebuah vignet yang diilhamkan daripada budaya Bali dan Jawa, diiringi komposisi muzik oleh Colin McPhee dan Lou Harrison.

Persembahan kedua, Stand by Me pula diiringi muzik oleh komposer Cina-Amerika Alex Dea yang meneroka tema transformasi, cinta dan hubungan manusia.

pic-3

Tirai akan dilabuhkan persembahan Malam Bulan di Pagar Bintang, penghormatan penuh nostalgia kepada lagu klasik Melayu karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma.

Untuk pertanyaan tiket dan maklumat lanjut, layari cloudjoi.com/shows/2789-malam-bulan-di-pagar-bintang-20.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387361