GAYA HIDUP

Bekas Jurutera Hasilkan Potret Daripada Tanah Liat

31/01/2025 03:20 PM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kebiasaannya, merakam gambar ataupun video sering kali menjadi pilihan ramai sebagai medium untuk mengabadikan pelbagai momen bahagia bersama insan tersayang yang kemudiannya akan dibingkai atau dialbumkan dalam bentuk beraneka cara. 

Namun, kelainan yang dicetuskan Farrah Wahida Saari, 35, dengan menginovasi produk berasaskan tanah liat yang sinonim dengan penghasilan tembikar, hiasan rumah menjadi potret hampir menyerupai gambar sebenar dalam bentuk kartun, berjaya menjentik minat ramai untuk memiliki karya kreatif itu. 

Sementelah lagi apabila bekas jurutera ini menggunakan bingkai gambar 3D untuk mengabadikan gambar berasaskan tanah liat itu mengikut tirai latar  yang diinginkan pelanggan, sekali gus menjadikan produk kraf sentuhan kreatif wanita ini semakin menyerlah, unik serta menarik. 

Menemuinya baru-baru ini, Farrah Wahida berkata perniagaan kraf yang diusahakannya itu pada 2020 kini menerima tempahan tidak hanya daripada orang perseorangan tetapi juga pelbagai organisasi yang ingin menjadikan produk seninya itu sebagai hadiah persaraan, carta organisasi dan sebagainya. 

“Semasa di universiti, saya banyak menghasilkan produk kraftangan berasaskan tanah liat untuk dijadikan cenderahati atau aksesori seperti patung hiasan, kek, bingkai gambar, anting-anting dan tag nama.

pic-2

“Idea menghasilkan tanah liat potret berasaskan gambar timbul, apabila melihat trend hantaran perkahwinan yang meletakkan duit mas kahwin dalam bingkai gambar 3D. Jadi, saya terfikir kenapa tidak saya cuba buat tanah liat yang ada gambar keluarga menggunakan bingkai gambar 3D itu sebagai kelainan,” katanya. 

Dengan kemahiran dan ilmu seni tanah liat yang dimiliki sebelum ini, tidak menyukarkannya untuk mencipta inovasi serta bereksprementasi dengan penghasilan produk kraf itu dan bagi melengkapkannya lagi, wanita ini mempelajari teknik penghasilan pelbagai rekaan berasaskan 3D untuk dijadikan hiasan tirai latar.

Menceritakan lebih lanjut, ibu kepada tiga orang anak ini berkata hiasan tirai latar lazimnya ditempah pelanggan mengikut tema yang berkait dengan sesuatu peristiwa pada gambar tersebut seperti majlis perkahwinan, perpisahan mahupun konvokesyen yang kemudiannya akan dibingkaikan mengikut saiz gambar 5R. 

Bagi memastikan produk seninya itu berjaya mengekspresikan wajah dalam versi potret tanah liat, wanita ini hanya akan menggunakan tanah liat jenis polimer dari luar negara yang mempunyai warna asas beronakan kuning-kuningan (cream), hitam, putih, biru selain ada yang memerlukan kombinasi tanah liat tertentu untuk menghasilkan warna berbeza.

“Bagi membentuk badan, kaki dan tangan potret seseorang, ia adalah seratus peratus hasil kerja tangan saya sendiri selain turut menggunakan mold bagi mengekalkan saiznya sementara ukiran halus seperti rambut, mulut dan mata, saya menggunakan clay needle.

“Mesen penggelek hanya digunakan bagi mengekalkan ketebalan tanah liat potret itu. Saya akan tunjuk dahulu kepada pelanggan dan sekiranya mereka berpuas hati barulah dimasukkan ke dalam ketuhar untuk proses pembakaran,” katanya sambil menambah proses terakhir ialah menghasilkan tirai latar.

pic-3

Dengan terjual lebih daripada 500 unit produk krafnya itu, Farrah Wahida yang kini menetap di Langkawi, Kedah selepas berhenti kerja pada 2022, bersyukur apabila perusahaan yang dimulakan pada awalnya sekadar mengisi masa lapang akhirnya menjadi sumber rezeki utama buatnya. 

“Semasa bekerja di Shah Alam, Selangor, saya buat produk tanah liat ini sebagai sampingan sahaja sebelum berhenti kerja dan pulang ke kampung selepas kematian bapa. Semasa di kampung, cari juga kerja tetapi tiada yang sesuai dengan kelayakan dalam bidang kejuruteraan. 

“Jadi, saya pun (ambil keputusan untuk jadikan perniagaan kraf itu) dibuat secara sepenuh masa. Alhamdulillah, dengan kemudahan media sosial, produk saya dapat dipromosi dengan lebih meluas dan tempahan diterima dari seluruh negara,” katanya yang menggunakan jenama Craftykats.clay.

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388072