KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kumpulan Kopratasa yang dikenali sebagai pelopor lagu puisi tanah air, kembali ke persada muzik dengan pelancaran single terbaharu, Menuju Tengah Malam.
The LANE Creative Centre dalam satu kenyataan berkata lagu terbitan Luncai Emas Sdn Bhd itu dicipta oleh Adiwangsa Sukma, seorang komposer serta penyanyi lagu puisi, berdasarkan puisi nukilan Usop Kopratasa.
Adiwangsa dalam kenyataan itu berkata keterlibatannya dengan Kopratasa bermula apabila beliau terpanggil untuk menyokong semangat kumpulan tersebut dalam menghidupkan semula genre lagu puisi selepas sekian lama menyepi.
“Menuju Tengah Malam dirakamkan di Studio 67 milik saya sendiri, dan diedarkan oleh Luncai Emas. Saya yakin susunan kata-kata puitis dalam lagu ini mampu menyemarakkan kembali legasi lagu puisi di Malaysia.
“Dengan mesej yang membawa roh naqliah (wahyu), saya yakin lagu ini akan menjadi simbol kesinambungan kehebatan Kopratasa yang sukar ditandingi,” katanya, menambah lagu berentak bolero, iaitu cabang muzik Latin, menampilkan paduan suara yang harmoni antara beliau dan Usop Kopratasa.
Kopratasa yang dianggotai Mohd Yusof Ahmad (Usop), Sani Sudin dan Syed Indera Syed Omar (SISO), mula menempa nama pada 1987 dengan album pertama mereka Keringat Dalam Pasrah hingga album terakhir Kopratasa Masih Bertiga…Tetap Berbisa (2006).
Selepas pembubaran kumpulan Harmoni di bawah pimpinan Zubir Ali, Kopratasa menerajui genre lagu puisi melalui karya yang meninggalkan kesan seperti Permata Untuk Isteri (puisi Aziz H.M.), Tetamu Senja (puisi Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A. Samad Said) dan Masihkah Kau Ingat.
-- BERNAMA