KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Selepas dikenali sebagai pelawak, pelakon dan pengacara, kumpulan Zero meluaskan penglibatan dalam dunia seni dengan meneroka bidang nyanyian.
Trio adik-beradik yang terdiri daripada Sharif Kadir Doli Sharif atau lebih dikenali sebagai Sharif, Mohd Syaiful Doli Sharif (Syaiful) dan Sharif Kunal Doli Sharif (Atu) melakar satu lagi pencapaian dalam karier mereka dengan pelancaran single sulung bertajuk Tondu.
Menurut Atu, idea untuk menghasilkan lagu itu dicetuskan oleh abangnya, Sharif dan Syaiful, selepas mereka menjuarai program Famili Duo 2023 terbitan TV3.
"Sayanglah kalau tiada lagu sendiri kerana mereka ada bakat menyanyi. Sebelum ini asyik menyanyi lagu orang sahaja. Mereka menyanyi sepenuhnya lagu ini sementara saya pula banyak terlibat dalam bahagian rap," katanya dalam kenyataan.
Katanya, tujuan menghasilkan lagu tersebut bukan untuk bersaing atau menyertai mana-mana pertandingan, tetapi lebih kepada membuka peluang ditawarkan membuat persembahan.
pic-2
"Hasil persembahan itu akan digunakan bagi membiayai pengurusan jenazah yang kami wujudkan, selain menampung komitmen keluarga dan sebagainya. Kami tahu jika tiada lagu, kami kurang dapat pertunjukan. Kami tidak mengharap pada berlakon drama ataupun filem. Jadi kami cuba buat lagu bagi mempelbagaikan kelebihan yang ada," katanya.
Lagu Tondu yang bermaksud “perempuan” dalam bahasa Kadazan Dusun, digubah oleh komposer Zai Hamzah bersama Hemo dengan lirik oleh Achoi Floor 88 dan Ayie Elham Floor 88. Lagu tersebut mula berkumandang di semua platform digital semalam.
Sementara itu, Zai Hamzah berharap Tondu diterima baik oleh peminat, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia kerana konsep muziknya yang mempunyai elemen dari sana.
"Konsep lagu ini saya buat ikut konsep muzik Indonesia. Sebenarnya Sabah pun ada juga konsep muzik begini, cuma kebanyakan lebih terarah kepada kepulauan Indonesia,” katanya.
Zai turut memuji karakter nyanyian kumpulan Zero yang unik, dipengaruhi latar belakang mereka dari Sabah yang memberi kelebihan dalam menyampaikan lagu dengan gaya tersendiri.
"Suara mereka bukanlah betul-betul seperti penyanyi yang kita tengok tapi mereka ada bakat untuk menyanyi lagu ini dengan sangat baik. Malah, usaha mereka membaiki aspek vokal dan memasukkan efek tertentu menjadikan hasil rakaman lebih menarik dan berkualiti," katanya.
-- BERNAMA