EKONOMI

Petronas Pertimbang Tamat Aktiviti Aset Matang, Termasuk Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak

29/01/2025 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mempertimbangkan untuk menamatkan aktiviti aset matang dalam operasi huluan negara, termasuk Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP).

Saluran paip gas asli sepanjang 500 kilometer (km), yang beroperasi sejak awal 2014, menghubungkan Kimanis (Sabah) dengan Bintulu (Sarawak).

Dalam laporan Prospek Aktiviti untuk 2025-2027, syarikat minyak nasional itu berkata proses tersebut juga melibatkan menilai aset yang tidak digunakan untuk potensi guna semula.

“Bagi tempoh tiga tahun akan datang, pelan penamatan operasi termasuk memasang dan menutup kira-kira 153 telaga serta 37 kemudahan luar pesisir dan satu kemudahan di darat, iaitu SSGP,” katanya.

Selain itu, Petronas berkata dalam tempoh dua tahun akan datang, kira-kira 15 telaga cari gali diunjurkan digerudi setiap tahun, memberi tumpuan kepada telaga air cetek dan telaga air dalam.

Katanya pihaknya menjangka lebih 400 telaga akan digerudi dan 39 projek huluan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

Ini termasuk pembinaan tiga Platform Pemprosesan Pusat (CPP) luar pesisir dan tiga kemudahan di darat serta fabrikasi dan pemasangan kira-kira 900 km saluran paip. 

Bagi memastikan pengeluaran optimum lapangan dan kemudahan pengeluaran, Petronas berkata sebanyak 367 pelan penambahbaikan kemudahan (FIP) dirancang untuk tempoh tiga tahun akan datang. 

Ini termasuk perolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian (EPCIC) serta Penggantian Penjana Turbin Gas (GTG) Projek Pemulihan F6.

Menurut Petronas, FIP menyumbang kepada inisiatif penyahkarbonan dengan membantu mengekang pembakaran di kemudahan di darat yang baharu.

Pada masa yang sama, syarikat turut menempatkan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai perniagaan utama, terutamanya projek Kasawari manakala bagi perniagaan hiliran, syarikat giat meneruskan pertumbuhan dalam bahan kimia khusus.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2387717