KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 ke atas seorang tukang rumah selepas dia mengaku bersalah menghantar kata-kata ugutan jenayah terhadap keluarga pelawak dan pelakon Harith Iskander.
Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Izzuddin Md Salim, 31, dan memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap pada 24 Jan dan juga mengarahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Izzuddin didakwa telah menghantar Whatsapp berserta gambar yang mengandungi kata-kata ugutan yang bermaksud lelaki itu akan melakukan jenayah rogol dan bunuh, yang Whatsapp tersebut diterima oleh bekas isteri pelawak itu Dr Jezamine Lim dan perbuatannya itu telah menakutkan secara jenayah kepada mangsa.
Kandungan Whatsapp itu kemudian dibaca Dr Jezamine di sebuah restoran di sini pada 8.50 pagi, 23 Jan.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Mageswary bertanya kepada tertuduh adakah dia yang melakukan kesalahan itu.
Izzuddin menjawab; “Ya dan niat saya hanya ingin mainkan perasaan Harith Iskander sahaja. Saya tiada maksud yang lain. Ini adalah kesalahan pertama saya dan saya sangat kesal”.
Peguam Qurratu Aini Zafirah Mat Shoib daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh, kerana perkataan yang digunakannya akan mendatangkan bencana kepada anak perempuan Harith Iskander dan Dr Jazemine.
“Alasan bahawa tertuduh masih muda dan kesalahan pertama adalah tidak wajar hukuman pemenjaraan tidak dikenakan kepada tertuduh. Alasan yang digunakan oleh tertuduh bahawa dia hanya ingin mainkan perasaan Harith Iskander adalah tidak wajar sama sekali,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Dr Jazemine telah dimaklumkan oleh seorang kakitangannya bahawa telefon bimbit syarikat pengadu (Dr Jazemine) menerima mesej berunsur ugutan jenayah rogol, bunuh berserta dengan gambar anak-anak pengadu daripada satu nombor yang tidak dikenali.
Bimbang keselamatan diri dan keluarga, pengadu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Hasil siasatan polis mendapati, nombor telefon kepunyaan Izzuddin bersepadanan dengan nombor telefon Whatsapp yang diterima mangsa.
Kandungan mesej tersebut pada awalnya ada di dalam telefon bimbit tertuduh tetapi dia telah memadamkannya.
Perkataan yang digunakan Izzuddin juga jelas menunjukkan dia faham apa yang dimaksudkan sebagai perkataan yang mengugut untuk mendatangkan bencana atau bahaya bagi jenayah rogol dan bunuh kepada anak-anak pengadu dan Harith Iskander, dengan niat untuk mencetus ketakutan atau kegentaran kepada pengadu serta pelawak itu.
-- BERNAMA