MELAKA, 1 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menjadualkan prosiding lima isu baharu sempena sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan, kata Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau berkata ia membabitkan isu pembangunan tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Selain itu, cadangan perolehan kereta api elektrik (EMU) secara pajakan di bawah Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Ia juga membabitkan pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Kewangan, Malaysia Airports Berhad (MAHB), Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.
Mas Ermieyati yang juga Ketua Srikandi Bersatu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Srikandi Bersatu Melaka di Taman Tambak Harmoni di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata prosiding lain termasuk pelaburan domestik Khazanah Nasional di bawah Kementerian Kewangan dan Khazanah Nasional.
Beliau berkata prosiding juga akan menyentuh mengenai peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Mas Ermieyati berkata bagi prosiding pengurusan lapangan terbang awam, PAC menyediakan terma rujukan untuk ahli PAC dengan prosiding akan menjurus kepada semua isu, bukan sahaja membabitkan penyahsenaraian MAHB daripada Bursa Saham malah harga tiket tinggi dan kelewatan pemasangan aerotrain.
“Pada tahun ini, PAC menyasar untuk membentangkan 25 laporan dengan mengadakan lebih 150 mesyuarat membabitkan isu berkaitan kepentingan rakyat dan Laporan Ketua Audit Negara berbanding 148 mesyuarat dengan 22 laporan pada tahun lepas.
“Berhubung pelaburan Khazanah Nasional yang rugi, PAC menetapkan prosiding berkaitan pelaburan domestik Khazanah Nasional untuk mendapatkan penjelasan dan keterangan daripada syarikat dana kekayaan negara ini,” katanya.
-- BERNAMA