PASARAN

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Bergerak Dalam Julat Terhad Minggu Depan

01/02/2025 10:35 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak dalam julat terhad pada minggu depan, menjejaki prestasi pasaran tunai pendasar yang lebih baik dengan sentimen meningkat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,550 hingga 1,580 pada minggu depan.

“Kami menjangkakan aktiviti pemburuan saham pada harga rendah mungkin berlaku pada minggu depan susulan dagangan yang rendah pada minggu baru berakhir berikutan musim perayaan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak Januari 2025 naik 1.5 mata kepada 1,561.0 manakala Februari 2025 turun 4.5 mata kepada 1,557.0, Mac 2025 berkurangan 5.0 mata kepada 1,539.5 dan Jun 2025 merosot 3.0 mata kepada 1,552.0.

Jumlah dagangan meningkat kepada 108,467 lot daripada 72,443 lot minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 47,219 kontrak berbanding 70,293 kontrak sebelumnya.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, indeks utama turun 16.81 mata kepada 1,556.92 daripada 1,573.73 minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388357