AM

Suami Isteri Maut, Dua Anak Cedera Dalam Nahas Di Gua Musang

01/02/2025 05:33 PM

KOTA BHARU, 1 Feb (Bernama) -- Pasangan suami isteri maut manakala dua anak mereka cedera selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, seorang lelaki berusia 25 tahun yang memandu Perodua Myvi, bersama isterinya, 26, serta dua anak mereka, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan bayi perempuan 10 bulan, dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu Myvi itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh kanan justeru menyebabkan kenderaan itu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.

"Impak perlanggaran menyebabkan treler itu terbabas dan terbalik manakala Myvi terbabas ke bahu kiri jalan. Pasukan bomba yang dikejarkan ke lokasi berjaya mengeluarkan pemandu dan penumpang hadapan yang tersepit namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dua kanak-kanak yang cedera dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya bayi berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian perut sementara kanak-kanak lelaki itu kini dalam keadaan stabil.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di 013-3010408 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388436