Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Biarpun terik matahari di Anjung Spotter, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ‘menggigit’ kulit, sedikit pun tidak menghalang sekumpulan jurugambar ini untuk terus sabar menanti sehingga berjam lamanya demi sekeping gambar pesawat yang diimpikan.
Tangan mereka pula sentiasa di posisi bersedia untuk membidik picu kamera agar tidak terlepas merakamkan saat ketibaan atau pelepasan sesebuah pesawat untuk dijadikan koleksi simpanan peribadi mahupun berkongsi dengan pencinta dunia aviasi di seluruh dunia.
Bercerita mengenai hobi sebagai jurugambar ‘burung besi’ itu atau lebih dikenali ‘plane spotter’, Hairol Hanim Harun, 50 berkata dia terjebak dengan aktiviti itu kira-kira tiga tahun lalu selepas diajak oleh rakannya.
Dia yang merupakan jurugambar perkahwinan, pada awalnya hanya menggunakan kelengkapan kamera sedia ada untuk memahirkan diri mendalami subjek baharu melibatkan pesawat penumpang.
pic-2
“Pada mulanya saya ikut sahaja komuniti plane spotter lain sebab saya juga ada kamera jenis DLSR. Jadi, saya ‘spot’ apa sahaja pesawat yang ada di depan mata dan kemudian gambar yang cantik saya pilih, edit dan post di dalam sosial media.
“Lama-kelamaan saya semakin rapat dengan komuniti ini, mereka ajar saya seperti model pesawat, saiz pesawat, teknologi dan operasi penerbangan. Adalah satu kepuasan apabila saya berjaya mendapatkan sudut yang terbaik merakamkan sesuatu pesawat, apatah lagi pesawat yang rare (jarang dilihat),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menghabiskan masa di Anjung Spotter KLIA sekurang-kurangnya dua kali seminggu bersama-sama jurugambar lain, bapa kepada tiga anak ini berkata hobinya itu memberi kepuasan berbeza berbanding tugasan hakikinya sebagai jurugambar perkahwinan terutama teknik yang digunakan dalam merakam aktiviti plane spotting.
Disebabkan itu, dia langsung tidak kisah menghabiskan masa berjam-jam lamanya di Anjung Spotter walaupun terpaksa mengambil masa hampir satu jam perjalanan dari rumahnya di Telok Penglima Garang untuk ke KLIA dengan jarak 50 kilometer.
pic-3
“Hobi itu memerlukan kesabaran dan pemahaman teknikal sementara jurugambar perkahwinan lebih kepada interaksi dengan manusia.
“Tak semua pesawat datang tepat pada waktunya kerana ada yang delay. Begitu juga faktor cuaca, panas dan hujan akan menentukan gambar itu lebih cantik sepertimana yang kita nak, kalau perkahwinan, kita sudah ada flash dan cahaya yang cukup,” katanya dan menambah aplikasi Flight Radar 24 digunakan sebagai rujukan bagi mendapatkan maklumat waktu pendaratan dan jenis pesawat.
Aktif berkongsi aktiviti plane spotting di akaun Tiktoknya, Kyrolphotography, Hairol Hanim berkata demi kepuasan minatnya itu, dia sanggup membelanjakan lebih RM80,000 menggunakan wang simpanannya untuk ‘upgrade’ aksesori kamera termasuk body kamera dan lensa telefoto bagi mendapat imej yang lebih berkualiti.
“Kalau gambar perkahwinan, biasa kita guna lensa yang prime atau pendek dan kita boleh follow subjek (pengantin) untuk ambil gambar, berbeza sebagai plane spotter, kita kena ada lensa yang boleh zoom dekat dan jauh kerana pesawat itu sentiasa bergerak laju dan kita akan statik berada di satu-satu tempat,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang lagi plane spotter, Muhammad Abdul Hafiz Asmi,39 pula berkongsi hobinya itu merupakan impian sejak kecilnya untuk melihat kapal terbang daripada pelbagai negara.
Bertugas sebagai anggota bomba di Malaysia Airport Holdings Berhad KLIA memberi kelebihan kepada anak kelahiran Terengganu ini apabila berpeluang mengambil gambar di ruang yang tidak boleh diakses plane spotter luar, namun katanya, dia masih perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Pesawat yang saya dapat (rakam) dapat clear view, berbanding daripada plane spotter di luar. Mana-mana side mereka tak nampak saya boleh dapat, cuma daripada segi undang-undang saya perlu patuhi seperti memakai vest keselamatan ketika di parking pesawat dan tidak memasuki kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya.
pic-4
Berkongsi keseronokan sebagai plane spotter, Abdul Hafiz berkata beliau terpesona dengan keunikan setiap pesawat dan peluang dapat merakamkan model pesawat yang jarang dilihat atau mempunyai livery khas adalah sesuatu yang menyeronokkan dan momen itu dapat beliau berkongsi dengan ramai orang.
“Antara gambar model pesawat rare yang pernah sempat saya rakamkan ialah pesawat kargo terakhir, McDonnell Douglas MD-11 milik sebuah syarikat penghantaran terkenal yang mendarat di KLIA pada 2010 dan pesawat Boeing KC-135 Stratotanker pada Ogos tahun lepas,” katanya.
-- BERNAMA