SUKAN

Piala Dunia Hoki Dalam Dewan: Malaysia Harap Keputusan Terbaik Menentang Jerman Esok

02/02/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan Rodhanizam Mat Radzi berharap skuad bimbingannya mampu mencipta keputusan terbaik apabila memulakan kempen Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia esok.

Beliau berkata skuad negara sebelum ini telah menjalani beberapa aksi pemanas badan dan ia menjadi bekalan terbaik buat pemain sebelum memulakan aksi Kumpulan B, berdepan juara dunia tiga kali Jerman.

“Pemain 100 peratus bebas daripada kecederaan dan semangat mereka berada di tahap yang tinggi.

“Saya mengharapkan satu keputusan terbaik untuk pasukan, dan pemain akan berikan yang terbaik untuk perlawanan menentang Jerman esok,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia hari ini. 

Rodzhanizam turut berharap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada skuad negara sepanjang kempen Piala Dunia yang bermula esok hingga 9 Feb ini.  

Selain Jerman, pasukan negara akan berdepan Argentina (4 Feb) dan Iran (6 Feb).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388632