Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri hari dagangan pertama Februari pada Isnin dengan lebih rendah, diasak sentimen mengelak risiko yang ketara di pasaran susulan tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan tarif baharu.
Pada jam 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.29 mata atau 0.21 peratus kepada 1,553.63 daripada paras 1,556.92 yang dicatatkan pada akhir dagangan Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu memulakan dagangan dengan susut 9.36 mata pada 1,547.56, malah bergerak mencecah paras rendah 1,546.68 pada sesi pagi sebelum kembali meningkat sehingga 1,556.74 dalam sesi tengah hari.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 589 berbanding 385 manakala 429 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 2,294 tidak diniagakan manakala 15 lain digantung dagangannya.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Rumah Putih masih belum mengumumkan butiran terperinci mengenai rancangan mengenakan tarif itu yang hanya mencetuskan lagi ketidaktentuan berhubung aspek skop serta tempoh berkaitan.
“Kekaburan mengenai perkara itu hanya meningkatkan lagi kebimbangan mengenai bagaimana serta sejauh mana tarif ini akan dikuatkuasakan. Pasaran misalnya amat sensitif dengan kejutan dan ketidaktentuan dasar sedemikian yang tidak hanya memberi tekanan ke atas ekuiti AS tetapi juga di pasaran modal global dengan memburukkan lagi sentimen negatif itu,” katanya.
Beliau berkata pasaran terbukti memberi reaksi pantas yang didorong oleh peningkatan mengelak risiko yang ketara.
“Bagaimanapun, kami mengekalkan pandangan bahawa AS akan terus bergantung kepada Asia untuk memasarkan produk-produknya,” katanya.
Mohd Sedek menegaskan, impak tarif ke atas produk China berkemungkinan terhad bagi Malaysia jika ini menyasarkan kelompongan perdagangan yang sebaliknya dieksploitasi oleh peruncit dalam talian China seperti Temu dan Shein berbanding menjejaskan rantaian bekalan secara meluas.
“Dalam masa terdekat ini, kami menjangkakan sebarang perkembangan positif di pasaran akan dibayangi oleh sentimen negatif susulan daripada pengumuman tarif ini. Ketidaktentuan kekal menjadi kuasa dominan dan minat terhadap risiko sebaliknya akan kekal suram sehingga keadaan lebih jelas,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Petronas Chemicals susut 24 sen kepada RM4.41, YTL Power International turun lapan sen kepada RM3.05, Maybank rugi empat sen pada RM10.30, Sime Darby berkurangan tujuh sen kepada RM2.18 manakala PPB Group menguncup 24 sen kepada RM11.72.
Compugates pula mendahului senarai kaunter paling aktif, menokok setengah sen kepada 1.5 sen dan diikuti Supermax yang meningkat 15 sen kepada RM1.22.
Top Glove naik lima sen kepada RM1.25, MAG menokok setengah sen kepada 20.5 sen manakala Oriental Kopi meraih dua sen kepada 85.5 sen.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas susut 17.65 mata kepada 11,866.06, Indeks FBMT 100 berkurangan 17.29 mata kepada 11,558.61 manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 15.31 mata kepada 11,721.82.
Indeks FBM ACE berkurangan 5.90 mata kepada 5,189.17 manakala Indeks FBM 70 naik 0.60 mata kepada 17,587.62.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 14.53 mata kepada 18,839.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.64 mata kepada 163.73 dan Indeks Tenaga merosot 7.20 mata kepada 816.12 manakala Indeks Perladangan sebaliknya meningkat 0.24 mata kepada 7,345.84.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.10 bilion unit bernilai RM1.56 bilion daripada 926.01 juta unit bernilai RM1.79 bilion pada Jumaat lepas.
Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 609.71 juta unit bernilai RM57.19 juta daripada 273.90 juta unit bernilai RM19.19 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 364.65 juta unit bernilai RM136.73 juta daripada 270.62 juta unit bernilai RM112.24 pada Jumaat lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 142.08 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (246.55 juta), pembinaan (74.99 juta), teknologi (145.63 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (51.77 juta), hartanah (124.48 juta), perladangan (16.91 juta), REIT (6.70 juta), dana tertutup (22,500), tenaga (99.99 juta), penjagaan kesihatan (101.25 juta), telekomunikasi dan media (16.1 juta), pengangkutan dan logistik (21.10 juta), utiliti (57.73 juta) dan amanah perniagaan (57,700).
-- BERNAMA