IPOH, 9 Feb (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang wanita kerugian RM115,786 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak berkuasa sejak Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata mangsa berusia 25 tahun, yang juga pelajar sebuah universiti di luar negara menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil dari kedutaan China pada 13 Jan lepas.
“Suspek mendakwa nombor telefon yang didaftarkan atas nama mangsa telah digunakan untuk membuka akaun yang terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram. Kemudian panggilan itu kononnya disambung ke balai polis di China.
“Mangsa telah bercakap dengan individu yang mengaku sebagai polis, dan pendakwa raya meminta mangsa memberikan maklumat akaun, nombor kad pengenalan dan alamat selain mangsa diminta mengikuti segala arahan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Nasir berkata mangsa yang ketakutan telah memberikan segala maklumat seperti yang diminta suspek dan kemudiannya mangsa diminta memasukkan sejumlah wang tunai ke lima akaun yang diberikan suspek, kononnya untuk siasatan.
Beliau berkata mangsa memindahkan wang tunai RM115,786 sejak 15 Jan hingga 4 Feb lepas ke lima akaun yang berbeza.
“Pada 4 Feb lepas mangsa dimaklumkan bahawa siasatan telah selesai dan diarahkan pergi ke balai polis terdekat untuk mendapatkan surat. Apabila mangsa datang ke balai polis dan bertanya tentang perkara itu, barulah mangsa menyedari dia telah ditipu, dan membuat laporan polis sehari kemudian," katanya.
Mohamad Nasir berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA