JENAYAH & MAHKAMAH

Op Selamat: Pandu Lebih Had Laju Kesalahan Utama Dikesan Di Johor

03/02/2025 08:52 PM

JOHOR BAHRU, 3 Feb (Bernama) -- Memandu melebihi had kelajuan merupakan kesalahan utama yang dikenal pasti sepanjang enam hari Op Selamat dilaksanakan di Johor sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata secara keseluruhan sebanyak 11,645 saman dengan 3,963 daripadanya melibatkan kesalahan memandu melebihi had kelajuan telah dikeluarkan dalam operasi berkenaan yang bermula 28 Jan.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 23,386 saman dikeluarkan dalam operasi sama tahun lepas.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor menerapkan advokasi, selain daripada penguatkuasaan dalam operasi ini. Hasilnya, kesedaran masyarakat terhadap peraturan lalu lintas dilihat kian meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhannya, polis kontinjen Johor mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan penurunan kadar kemalangan iaitu 1,169 kes berbanding 1,221 pada Op Selamat tahun lepas.

“Kemalangan maut turut mencatatkan penurunan iaitu lapan kes berbanding 13 kes sebelum ini, manakala kematian merekodkan lapan kes, berbanding 16 pada tempoh sama,” katanya.

Kumar berkata sebanyak 40 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan trafik dengan 23 daripadanya mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol dan melebihi had dibenarkan.

Sebanyak 15 orang ditangkap di bawah Seksyen 42 akta sama iaitu memandu secara melulu dan berbahaya.

Beliau berkata pihaknya menerima 542 laporan balik kampung menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta borang balik kampung yang diperoleh daripada balai berhampiran.

Sebanyak 3,505 lawatan serta rondaan di kawasan perumahan juga, katanya telah dijalankan manakala tiada kes pecah rumah direkodkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2388960