KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Pencegah Rasuah (ACA) Uzbekistan hari ini menandatangani pelan tindakan bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang latihan profesional, strategi antirasuah serta perkongsian amalan terbaik.
SPRM dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial memaklumkan bahawa pelan tindakan tersebut ditandatangani sebagai usaha untuk mempertingkatkan akauntabiliti, serta memperkukuhkan mekanisme, pembangunan dan perundangan berkaitan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kerjasama ini selaras dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, dalam memerangi rasuah yang dizahirkan dalam satu pertemuan pada Mei tahun lalu.
“Pelan tindakan ini juga adalah kesinambungan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara SPRM dan ACA Republik Uzbekistan pada Mei 2022.
“Menerusi pelan tindakan ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan kapasiti, penganjuran dan penyertaan bersama dalam forum, bengkel serta seminar, penempatan silang pegawai dan perkongsian pengetahuan dalam sektor operasi, pencegahan, pendidikan dan pengurusan,” katanya.
Azam berkata demikian dalam ucapannya di majlis menandatangani pelan berkenaan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya yang turut dihadiri oleh Pengarah ACA Republik Uzbekistan Dr Akmal Burkhanov dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman.
Pelan tindakan itu ditandatangani oleh Azam bersama Dr Akmal dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Sementara itu, Akmal turut berharap pelan berkenaan dapat mendorong dan mengukuhkan akademi antirasuah yang baharu dibangunkan oleh ACA melalui kerjasama strategik bagi pembangunan modul dan tenaga pengajar.
-- BERNAMA