KUANTAN, 4 Feb (Bernama) -- Kemajuan keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor sudah mencapai 78.5 peratus setakat bulan lepas, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata tahap kemajuan jajaran fasa pertama dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak yang menyakinkan ini selari dengan jadual ditetapkan iaitu pada Disember 2026, dan dengan perkembangan itu ECRL dijangka beroperasi bermula awal 2027.
Amir Hamzah berkata jajaran fasa kedua dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula, akan dapat disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028, berdasarkan kepada perkembangan projek berkenaan.
“Alhamdulillah, projek ini bukan projek yang kecil, ia projek yang besar dan mengambil kira banyak orang yang bekerjasama. Saya mengucapkan tahniah kepada MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd) dan CCC- ECRL (China Communications Construction) kerana dapat berganding bahu menjayakan kemajuan yang ada sekarang.
“Projek ini akan membawa manfaat ekonomi dan menjadi pemangkin untuk menarik lebih banyak (lagi) pelaburan di Pantai Timur, mewujudkan banyak peluang pekerjaan di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Laporan Impak Sukuk SDG bagi Projek ECRL di Tapak Projek ECRL Seksyen 10 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Sementara itu, Amir Hamzah dalam ucapannya berkata laporan sukuk tersebut adalah bukti komitmen MRL dalam memastikan pembangunan infrastruktur berimpak tinggi yang mampan demi menjamin kelestarian masa hadapan.
Beliau berkata dengan memanfaatkan laporan impak Sukuk SDG ini, projek ECRL bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan tetapi juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu memajukan objektif alam sekitar, sosial dan ekonomi untuk negara.
"Laporan ini menyerlahkan kemajuan signifikan yang telah dicapai serta impak yang boleh diukur daripada inisiatif bersejarah ini. Pada April 2024, MRL mencapai kejayaan bersejarah dengan menjadi syarikat pertama di bawah Kementerian Kewangan (MoF) dan dalam industri pengangkutan yang mewujudkan program SDG Sukuk.
"Usaha perintis ini berjaya mengumpulkan RM4.5 bilion pada 2024 untuk membiayai ECRL, sebuah projek transformasi yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Lembah Klang serta meningkatkan kesalinghubungan dan membuka peluang ekonomi yang besar kepada seluruh wilayah ini," katanya.
Beliau berkata penerbitan Sukuk SDG mendapat sambutan luar biasa daripada pelabur dan berjaya mencapai kadar sebaran yang paling ketat bagi sukuk jaminan kerajaan dalam sejarah Malaysia.
“Kejayaan ini turut meraih pengiktirafan berprestij, termasuk ‘Best Islamic Finance Deal in Southeast Asia’ dan ‘Best Green Sukuk 2024’ oleh Alpha Southeast Asia, sekali gus mengukuhkan lagi kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam dan pembangunan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Darwis berkata projek ECRL berada pada landasan yang tepat untuk siap mengikut jadual dengan aktiviti pembinaan berjalan lancar di 361 tapak kerja yang aktif dengan lebih 18,000 warga kerja terlibat di sepanjang jajaran ECRL.
“Dengan momentum kerja pembinaan yang amat menggalakkan ini, MRL optimis akan memulakan pengoperasian ECRL dalam masa dua tahun lagi, selaras dengan aspirasi rakyat dan komuniti perniagaan dalam menyediakan pengangkutan yang lancar untuk penumpang dan kargo.
“Justeru, warga Pantai Timur yang berada di Lembah Klang terutamanya, hanya perlu menunggu dua kali Syawal sahaja lagi bagi menaiki ECRL pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2027,” katanya.
-- BERNAMA