DUNIA

Malaysia, Uzbekistan Setuju Tingkatkan Hubungan Ke Tahap Perkongsian Strategik

05/02/2025 03:09 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Uzbekistan mengiktiraf kepentingan memperkukuh hubungan dua hala sedia ada serta menzahirkan komitmen bersama untuk meningkatkan hubungan ke tahap perkongsian strategik pada masa hadapan, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu. 

Kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia mulai Selasa (4 Feb), menyatakan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh perdagangan serta kerjasama komprehensif bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Dalam merealisasikan potensi penuh hubungan dua hala, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengekalkan hubungan, rundingan serta koordinasi pada pelbagai peringkat termasuk bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa utama dalam forum dan persidangan antarabangsa,” menurut kenyataan itu. 

Persidangan antarabangsa itu termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta organisasi lain sebagaimana termaktub dalam Program Kerjasama antara Kementerian Luar Uzbekistan dan Kementerian Luar Malaysia bagi tempoh 2023-2026, yang dimeterai pada 4 Julai 2023. 

Terdahulu, Mirziyoyev yang sedang dalam lawatan sulungnya ke Malaysia sejak menjawat jawatan itu pada Disember 2016, diberi sambutan rasmi di Perdana Putra. 

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini mengunjungi Uzbekistan pada Mei 2024. 

Menurut kenyataan itu, Mirziyoyev turut mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta menyatakan sokongan penuh Uzbekistan terhadap peranan Malaysia dalam organisasi itu. 

Kedua-dua pemimpin juga menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan antara ASEAN dan Uzbekistan. 

“Dalam hal ini, Malaysia mengulangi sokongannya terhadap aspirasi Uzbekistan untuk menjalin hubungan institusi dengan ASEAN serta hasratnya mempertimbangkan penyertaan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), mengiktiraf potensinya untuk meningkatkan lagi keamanan dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Malaysia dan Uzbekistan turut menekankan kerjasama aktif membabitkan isu-isu utama rangka kerja organisasi antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan mengesahkan komitmen mereka untuk meneruskan sokongan dalam menyokong inisiatif dan pencalonan masing-masing.

Kedua-dua pemimpin juga menekankan sokongan mereka untuk mengambil langkah bersama dalam format dua hala dan pelbagai hala bagi memerangi ancaman dan cabaran keselamatan yang muncul, terutamanya berkaitan dengan jenayah rentas negara termasuk keganasan dan pembiayaan keganasan, pengedaran dadah, migrasi haram dan lain-lain.

Menyentuh mengenai isu Palestin, kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa cabaran antarabangsa harus diselesaikan melalui cara damai termasuk perjuangan Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan, menurut kenyataan itu.

Para pemimpin juga menyeru akses tanpa halangan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin serta menekankan kepentingan penyelesaian adil dan berkekalan untuk menjamin keamanan dan kestabilan serantau.

Kenyataan bersama itu juga menyebut bahawa Anwar dan Mirziyoyev bersetuju tentang kepentingan untuk tidak mengasingkan Afghanistan, sebaliknya terus memberikan bantuan termasuk pembangunan kapasiti dan bantuan kemanusiaan bagi mengelakkan krisis kemanusiaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Afghanistan. 

Mirziyoyev merakamkan penghargaan kepada Anwar serta rakyat Malaysia atas sambutan dan layanan mesra yang diberikan kepada delegasi Uzbekistan sepanjang lawatan itu. 

Presiden Uzbekistan itu turut menjemput Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Uzbekistan pada tarikh yang akan dipersetujui bersama, menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2389519