Oleh N. Sevagamy
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Seorang pakar maritim menasihatkan agensi pengangkutan laut untuk menyelidik dengan teliti sebelum terlibat dalam urus niaga perniagaan bagi memastikan kesahihan transaksi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, syarikat perlu mengesahkan identiti pelanggan, rakan kongsi, dan orang tengah pihak ketiga untuk mengurangkan risiko terlibat dalam aktiviti jenayah tanpa disedari, terutamanya penipuan kewangan dan pengubahan wang haram.
Beliau menekankan bahawa hubungan perniagaan jangka panjang juga tidak boleh dipercayai begitu sahaja tanpa memeriksa butiran transaksi, termasuk identiti ejen pengiriman dan sumber pembayaran akhir.
“Semua ejen penghantaran harus berwaspada mengenai isu ini kerana dana akan berakhir dalam akaun syarikat mereka, dan mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka,” jelasnya.
“Oleh itu, jangan mempercayai secara membuta tuli. Dengan memeriksa proses transaksi, ejen penghantaran boleh mendapatkan gambaran jelas mengenai urusan tersebut, yang bukan sahaja melindungi kepentingan perniagaan tetapi juga memastikan seluruh rangkaian bekalan kekal bersih dan sah,” katanya dalam temu bua dengan Bernama, baru-baru ini.
Jeyenderan, yang mempunyai pengalaman 30 tahun dalam industri maritim, turut menekankan kepentingan melaporkan transaksi yang mencurigakan kepada pihak berkuasa, agar pihak penguat kuasa undang-undang dapat mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam jenayah kewangan seperti pengubahan wang haram.
Menceritakan pengalamannya sendiri, beliau mendedahkan bahawa beliau hampir menjadi mangsa pengubahan wang haram baru-baru ini tetapi berjaya memberi amaran kepada Bank Negara Malaysia (BNM) tepat pada masanya.
Isu itu kini berada di bawah kawalan BNM. Mereka melakukan kerja yang baik dalam hal ini. Pengangkutan maritim adalah tulang belakang perdagangan global dan ekonomi dunia. Oleh itu, operasi harus dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan sebarang konflik,” katanya.
-- BERNAMA