JENAYAH & MAHKAMAH

Bedah Siasat Mangsa Nahas Helikopter Selesai Petang Ini - Polis

07/02/2025 08:04 PM

BENTONG, 7 Feb (Bernama) -- Bedah siasat ke atas jurutera warga Indonesia yang maut dalam insiden helikopter jenis Bell 206L4 terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak di sini pagi semalam, telah selesai hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata perincian keputusan bedah siasat itu dan maklumat lain berhubung perkembangan siasatan nahas akan dimaklumkan kemudian. 

“Bedah siasat di Hospital Bentong baru saja selesai pada 3 petang tadi. Saya masih mengumpulkan maklumat berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Tinjauan di Hospital Bentong pada petang ini mendapati beberapa individu dipercayai wakil daripada syarikat tempat mangsa bekerja sedang menunggu bagi mendapatkan keputusan bedah siasat. 

Wakil syarikat berkenaan bagaimanapun enggan ditemu bual. 

Mangsa, Finsen Reskey Sembiring, 27, maut akibat libasan bilah kipas helikopter yang terbalik sebelum terbakar di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur di sini.

Sementara itu, tinjauan Bernama turut mendapati bangkai helikopter tersebut masih berada di lokasi kejadian setakat petang ini dengan beberapa kenderaan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pengangkutan turut kelihatan.

Media turut melihat kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian dipercayai dilakukan oleh syarikat pemilik helikopter berkenaan. 

Sementara itu, Zaiham berkata Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan hasil siasatan nahas berkenaan.

Beliau berkata polis dan BSKU juga telah menyerahkan bangkai pesawat berkenaan kepada MHS Aviation Berhad bagi tindakan lanjut. 

“Saya hanya boleh sahkan BSKU hadir di tempat kejadian dan meneruskan siasatan yang telah pun selesai, manakala untuk bangkai pesawat, ia diserahkan kepada MHS Aviation Berhad,” katanya.

Beliau berkata hasil bedah siasat turut mengesahkan kematian jurutera itu diakibatkan 'kecederaan di kepala akibat bilah rotor susulan kemalangan helikopter'.

“Pengecaman mayat mangsa juga telah dilakukan oleh bapa saudara mangsa yang hadir membuat pengesahan pada 3.30 petang tadi,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390312