AM

Pemberhentian Kerja Helikopter Kedua Tapak Projek TNB Tidak Jejas Projek ECRL - Loke

07/02/2025 06:26 PM

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Tindakan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan di tapak projek Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bentong, Pahang, tidak menjejaskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan seumpama itu bersifat sementara apabila berlaku suatu insiden kemalangan.

“Saya rasa tidak (jejaskan projek) dan kerja-kerja ECRL diteruskan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Untuk rekod, kemajuan keseluruhan projek ECRL yang merangkumi Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor sudah mencapai 78.5 peratus setakat bulan lepas.

TNB sebelum ini mengarahkan pemberhentian kerja berkenaan susulan sebuah helikopter jenis Bell 206L4 terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak berhampiran kolam air panas, Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan melakukan siasatan lanjut mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Nahas pada 10.39 pagi itu mengorbankan jurutera warga Indonesia, Finsen Reskey Sembiring, 27, akibat terkena libasan bilah kipas pesawat manakala juruterbang helikopter berkenaan yang juga rakan senegara terselamat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390332