JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Kedah Rampas Aksesori Pakaian Tiruan Di Langkawi

11/02/2025 05:30 PM

ALOR SETAR, 11 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas pelbagai jenis aksesori pakaian tiruan bernilai RM72,767 di tiga premis berasingan sekitar Langkawi, semalam.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan oleh KPDN Alor Setar dan KPDN Langkawi itu, dilakukan serentak pada 5 petang, bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar terlibat.  

Pelbagai jenis aksesori pakaian seperti seperti beg, tali pinggang, selipar, cermin mata, baju dan seluar yang menggunakan tujuh cap dagangan berdaftar disyaki palsu dirampas pada serbuan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis menjalankan perniagaan secara jualan terus dan semua pekerja merupakan warga asing.

“KPDN menyita 2,020 unit aksesori pelbagai jenis di premis pertama, premis kedua (413 unit) dan premis ketiga (336 unit) dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM72,767,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata serbuan dilakukan susulan aduan pemilik cap dagangan dan risikan sejak September tahun lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) kerana menggunakan perihal dagangan palsu.

Beliau mengingatkan tindakan tegas boleh diambil terhadap penjual barangan tiruan dan KPDN Kedah akan mempergiat pemeriksaan serta operasi penguatkuasaan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berhubung penjualan barangan tiruan menerusi portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my atau talian 1-800-886-800 dan WhatsApp 019-8488000 serta 019-2794317.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391470