JENAYAH & MAHKAMAH

Kejayaan Luar Biasa Kastam Kutip Hasil RM65.57 Bilion Bukti Reformasi Kerajaan - Cuepacs

11/02/2025 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  dalam meningkatkan hasil negara membuktikan bahawa reformasi sistem percukaian, pengurusan ekonomi yang telus, serta strategi kerajaan dalam menutup ketirisan telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat berkata pihaknya melihat pencapaian ini sebagai refleksi kepada komitmen kerajaan dalam memperkasakan pentadbiran awam serta memperkukuhkan integriti dan profesionalisme dalam perkhidmatan.

“Cuepacs mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas pencapaian luar biasa dalam mengutip hasil bersih sebanyak RM65.57 bilion bagi 2024.

“Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kecekapan dan dedikasi tinggi penjawat awam dalam sektor percukaian negara, tetapi juga hasil daripada dasar ekonomi dan pentadbiran yang efektif di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan juga merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin atas kepimpinan cemerlang beliau dalam menyelia JKDM sehingga mencapai kejayaan luar biasa itu.

“Sebagai penerima Anugerah Tokoh Wanita CUEPACS 2024, kejayaan ini menjadi bukti nyata keupayaan dan dedikasi beliau dalam memperkasakan jabatan serta memastikan pengurusan hasil negara yang lebih cekap dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata Cuepacs menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa JKDM melalui penyediaan sumber manusia dan teknologi yang lebih canggih seperti sistem digitalisasi dan automasi, yang akan meningkatkan kecekapan pemungutan cukai serta mempercepatkan proses pentadbiran.

Katanya dengan pencapaian cemerlang JKDM itu, Cuepacs menyeru agar kerajaan terus memberi kepercayaan kepada penjawat awam dalam meneruskan agenda pembangunan negara.

“Kejayaan JKDM ini wajar dijadikan model untuk jabatan lain dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam, sekali gus memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan sektor awam dalam mengurus sumber negara dengan cekap dan berintegriti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391541