AM

MARA Pertimbang Taja Pelajar Perubatan, Pergigian, Farmasi Di Universiti Al-Azhar

12/02/2025 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang mempertimbangkan untuk menaja pelajar Melayu dan bumiputera mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di Universiti Al-Azhar di Mesir.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata bagi tujuan tersebut, beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar hasrat MARA itu dapat diangkat ke Jemaah Menteri.

Menerusi catatan di Facebook, beliau juga memaklumkan telah memohon diskaun yuran daripada Universiti Al-Azhar bagi pelajar Melayu dan bumiputera di bawah tajaannya untuk mengikuti pengajian dalam ketiga-tiga bidang berkenaan. 

Beliau berkata permintaan itu dikemukakan kepada Presiden Universiti Al-Azhar Prof Dr Salamah Abu Daud semasa kunjungan ke Pejabat Pertubuhan Alumni Al-Azhar Antarabangsa di Kaherah, Mesir baru-baru ini.

Hadir sama semasa kunjungan itu ialah Naib Presiden (Penyelidikan dan Hal Ehwal Mahasiswa) Universiti Al-Azhar Dr Mahmoud Siddiq dan Penasihat Kanan Kepada Imam Besar Al-Azhar Dr Abdul Daim.

“Insya-Allah cita-cita dan aspirasi saya untuk melihat lebih ramai anak Melayu dan bumiputera profesional dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi dapat dilahirkan. Pada masa sama mereka punya jati diri dan tasawwur Islam yang kuat berorientasikan ulul-albab melalui kerjasama ini,” katanya.

Mengenai kunjungannya ke Mesir, Asyraf Wajdi berkata ia diharap dapat memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan pelajar Malaysia tajaan MARA yang melanjutkan pengajian di universiti itu yang sinonim dengan bidang pengajian Islam.

“MARA sentiasa komited dalam memastikan akses pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa dapat dinikmati oleh pelajar Malaysia, khususnya mereka yang berpotensi tinggi dan memerlukan sokongan kewangan.

“Semoga usaha ini membuahkan hasil yang baik demi membina generasi profesional negara berjiwa ulul-albab pada masa hadapan,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391644