KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Hampir 1,500 pencari kerja tidak melepqaskan peluang pada hujung minggu dengan menyertai Karnival Kerjaya MYFutureJobs (MFJ) X Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) 2025 yang bermula di sini hari ini.
Karnival dua hari itu dianjurkan oleh SPA bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, V. Gayathri berkata pihaknya menjangkakan kehadiran lebih ramai pengunjung esok, sekali gus berpotensi mencapai sasaran 3,000 orang seperti yang ditetapkan.
Beliau berkata antara peluang pekerjaan yang disediakan pada karnival dua hari itu termasuk sektor pembuatan, penerbangan, perhotelan, perbankan serta beberapa badan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Selain itu, PERKESO juga baru-baru ini menjalin kerjasama dengan HCL Technologies Malaysia Sdn Bhd yang menyediakan peluang temu duga dalam bidang kemahiran tinggi, khususnya sektor Teknologi Maklumat (IT).
“Jadi, kami mengalu-alukan pencari kerja di luar sana atau ingin meningkatkan kerjaya supaya tidak melepaskan peluang dengan datang ke WTCKL esok sehingga pukul 5 petang,” katanya selepas meninjau reruai Karnival Kerjaya MFJ X SPA 2025 di sini hari ini.
Mengenai karnival hari ini, Gayathri berkata kerjasama berskala besar yang julung kali diadakan bersama SPA telah membuka banyak peluang pekerjaan serta perkhidmatan kepada pengunjung dan pencari kerja yang hadir.
“PERKESO turut membawa bersama 35 majikan swasta hari ini untuk menawarkan peluang pekerjaan, di mana majikan-majikan ini akan menjalankan temu duga pada hari yang sama,” katanya.
Pada program hari ini, SPA telah mengadakan temu duga terbuka bagi jawatan Pengajar Gred U9 (Juruteknologi Pergigian), tertakluk kepada calon yang memenuhi syarat yang ditetapkan dan berdasarkan permohonan pengisian kekosongan jawatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, pengunjung Karnival Kerjaya MFJ X SPA 2025 turut berpeluang menjalani Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) secara terbuka, yang merupakan langkah proaktif SPA dalam mendapatkan calon berkualiti.
Bagi pengunjung, Mohd Azmanizam Ali, 29, karnival itu menjadi pusat sehenti dan platform terbaik untuk mencari peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang serta industri dengan mudah.
“Sebelum ini, saya bekerja dalam sektor gig. Apabila saya terlihat berita mengenai karnival ini, saya terus terpanggil untuk mencari peluang kerja baharu yang lebih baik. Alhamdulillah, urusan di karnival hari ini begitu mudah dan sangat mesra pelanggan,” katanya.
Sementara itu, mahasiswi Nur Syuhaida Samsudin, 23, berharap karnival itu diperluaskan ke universiti-universiti tempatan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai keperluan pasaran tenaga kerja semasa dalam negara.
“Input daripada karnival sebegini amat penting kepada pelajar kerana ia dapat membantu kami mempersiapkan diri untuk memasuki alam pekerjaan. Justeru itu, saya berharap PERKESO dan SPA dapat mempergiatkan lagi karnival atau jelajah seperti ini,” katanya.
-- BERNAMA