AM

Ibubapa "Serbu" Khidmat Gunting Rambut Percuma Kembali Ke Sekolah

16/02/2025 02:00 PM

PUTRAJAYA, 16 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan gunting rambut percuma untuk pelajar sekolah menjadi tumpuan ibu bapa menjelang pembukaan sesi persekolahan 2025 esok.

Tinjauan Bernama di lokasi "Jom Gunting Rambut Percuma" anjuran UMNO Putrajaya mendapati lebih 100 orang telah mendaftar untuk program itu sejak 9 pagi tadi.

Bapa kepada tiga anak, Mohd Nazrin Abdul Wahab, 43, berkata program itu amat bagus untuk ibu bapa dalam menyiapkan anak-anak kembali ke sekolah.

"Saya hantar anak-anak untuk gunting rambut di sini memandangkan hari ini adalah hari terakhir sebelum sekolah dibuka esok apatah lagi banyak kedai gunting rambut penuh dan masa menunggu yang lama," katanya.

Mohd Nazrin juga berharap program sebegini diperluaskan kepada perkhidmatan kelas tuisyen dan program latihan untuk pelajar secara percuma.

Nur Azleen Jamaluddin, 38, turut tidak melepaskan peluang menghantar anak prasekolahnya untuk perkhidmatan percuma itu.

"Memang terbaik program sebegini kerana meringankan beban ibu bapa. Memang nak hantar anak ke kedai gunting rambut tapi banyak dah penuh. Kebetulan nampak iklan di media sosial, jadi terus hantar anak ke sini," katanya.

Dia berkata hasil kerja tukang gunting rambut juga amat memuaskan walaupun mereka ini lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Program tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama GiatMara Shah Alam menampilkan 10 tukang gunting rambut yang pada masa sama bertujuan memupuk minat anak muda menyertai program TVET.

Sementara itu, tinjauan di Program Jualan Rahmah MADANI Mega dan Kembali ke Sekolah di Dewan De’Seri Endon mendapati ibu bapa sibuk membuat persiapan terakhir membeli kelengkapan sekolah anak-anak.

Badruzzaman Abdul Rahim, 56, berkata program sebegini meringankan beban ibu bapa dalam melengkapkan keperluan anak-anak untuk sesi persekolahan yang bermula esok.

"Ini persiapan terakhir bagi membeli apa yang patut seperti alat tulis pada harga berpatutan. Selain itu, ia juga memudahkan masyarakat membeli segala keperluan sekolah di satu tempat dan tidak perlu pergi di banyak lokasi," kata bapa kepada tiga anak itu.

Bagi Abuzar Saaban, 38, penganjuran program kembali ke sekolah amat memudahkan ibu bapa selain terdapat potongan harga bagi barangan keperluan sekolah.

"Untuk siapkan persekolahan anak bukan mudah dan memerlukan perbelanjaan tinggi. Program sebegini memberi penjimatan lebih-lebih lagi pengurusan kewangan memang perlu menjelang Ramadan," katanya.

Sesi persekolahan 2025 bermula esok bagi Kumpulan B iaitu di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sesi bagi Kumpulan A pula telah bermula hari ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393005