AM

Lebih 800 Warga Emas Di Kelantan Terima Vaksin Influenza Percuma Setakat Ini

19/02/2025 05:24 PM

KOTA BHARU, 19 Feb (Bernama) -- Sebanyak 842 warga emas di Kelantan telah mendapatkan vaksin influenza secara percuma menerusi program vaksinasi sukarela di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sejak semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata program berkenaan bertujuan melindungi warga emas berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik dan berisiko tinggi mendapat komplikasi serius akibat jangkitan influenza.

"Anggaran populasi terkini warga emas di Kelantan adalah sejumlah 200,880 orang. Pihak kami telah menerima sebanyak 3,600 dos vaksin influenza dan telah diagihkan kepada 57 klinik kesihatan terpilih di seluruh Kelantan.

"Justeru, sebanyak 1.8 peratus warga emas bakal menerima suntikan untuk fasa pertama di klinik kesihatan yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua fasiliti kesihatan terpilih itu telah memulakan suntikan imunisasi bermula pada semalam dengan jumlah suntikan hari pertama sebanyak 842 dos atau 23 peratus warga emas yang disasarkan di Kelantan.

"Warga emas yang disuntik telah dinasihatkan untuk datang ke klinik segera sekiranya terdapat sebarang gejala sampingan.

"Slot suntikan ini boleh diperoleh melalui janji temu di aplikasi MySejahtera, klinik kesihatan atau secara walk-in (datang terus) ke klinik kesihatan yang terpilih dan bergantung pada ketersediaan stok.

"Influenza bukan sekadar demam biasa, bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, ia boleh membawa kepada komplikasi serius termasuk radang paru-paru dan kemasukan ke hospital," katanya.

Sebelum ini, KKM memaklumkan warga emas, iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik tersenarai, boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma bermula pada 18 Feb ini.

Menurut KKM, waktu terbaik untuk mengambil vaksin itu di Malaysia adalah pada Mac atau September, selari dengan kesiapsiagaan menghadapi gelombang musim sejuk di hemisfera selatan pada Mei hingga Julai dan gelombang musim sejuk di hemisfera utara pada November hingga Januari.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394208