AM

KPKT Capai 93.9 Peratus Sasaran Pembinaan 500,000 Rumah Mampu Milik

19/02/2025 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Sasaran Kerajaan MADANI membina 500,000 unit rumah mampu milik (RMM) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hampir tercapai, dengan 93.9 peratus atau 466,421 unit rumah telah siap, dalam pembinaan mahupun dalam proses memperoleh kebenaran perancangan setakat 31 Dis tahun lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yakin sasaran itu mampu dicapai menjelang hujung tahun ini dan usaha berkenaan akan terus dirancakkan dalam RMK13 bagi memastikan rakyat di  negara ini mampu memiliki rumah sendiri khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Setiap kali kerajaan buat perancangan seperti RMK12 untuk pastikan 500,000 RMM dibina, tidak ada satu kerajaan pun capai sasaran itu tapi kali ini, penghujung tahun ini kita akan dapat capai 500,000 RMM ditawarkan kepada rakyat dikasihi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung langkah KPKT untuk menangani isu harga rumah yang semakin melonjak dan perancangan kerajaan untuk memastikan anak muda mampu memiliki rumah.

Nga berkata pada masa sama kementerian juga akan memperluaskan lagi Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) melibatkan peruntukan RM900 juta, termasuk pembinaan 5,410 unit RMR baharu di bawah Belanjawan 2025. 

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah inisiatif i-Biaya iaitu dengan pembiayaan RM500,000 bagi pembelian rumah pertama sama ada rumah baharu, rumah sedia ada atau rumah lelong yang mampu memberi manfaat kepada golongan muda dan berpendapatan rendah serta sederhana.

“Setakat tahun lepas, 76,664 permohonan jaminan bernilai RM17.6 bilion telah diluluskan,” katanya. 

Nga berkata berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga rumah kini berada dalam keadaan stabil dan tiada lonjakan mendadak serta terdapat peningkatan yang signifikan dalam aktiviti pengurusan hartanah.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394105