Oleh Wong Chun Wai
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Jalan menuju ke kediaman mewah Thaksin Shinawatra yang terletak di pinggir bandar raya Bangkok, dikelilingi dengan lorong-lorong sempit.
Rumah agamnya Shan Song Lor di Soi Charan Sanitwong 69, yang besar dan luas itu terletak di daerah Bang Plat, hanya 30 minit pemanduan daripada pusat bandar, walaupun ketika waktu puncak trafik pada waktu makan tengah hari.
Tanggapan saya bahawa rumah keluarga Thaksin akan berada di sebuah kejiranan dengan rimbunan pepohonan hijau dan jalan yang luas. Namun tanggapan saya itu terhadap pemimpin paling kontroversi Thailand ini jauh meleset.
Selepas 17 tahun dalam buangan, figura politik yang berpengaruh itu akhirnya pulang ke tanah airnya.
Thaksin dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara tanpa kehadirannya atas pertuduhan rasuah ketika pemerintahannya sebagai Perdana Menteri dari tahun 2001 hingga 2006. Namun tidak lama selepas pulang ke Thailand pada tahun 2023, beliau telah menerima pengampunan diraja yang mengurangkan tempoh hukuman penjaranya kepada setahun sahaja.
Namun tidak sampai 24 jam Thaksin tiba di Thailand, beliau telah dipindahkan daripada Penjara Reman Bangkok ke Hospital Besar Polis, untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Kini pada usia 75 tahun, Thaksin tidak lagi memegang sebarang jawatan politik atau kerajaan, namun media masih merujuknya sebagai pemimpin de facto Parti Pheu Thai.
Dengan anak perempuannya Paetongtarn, menjadi Perdana Menteri termuda negara pada usia 38 tahun, ramai menjangkakan Thaksin akan terus mempengaruhi kerajaan semasa Thailand.
Malah pengkritik Thaksin secara peribadi mengakui bahawa beliau masih berpengaruh dan masih memainkan peranan di sebalik tabir. Mereka juga mengakui bahawa pengaruhnya bukan hanya terbatas di Thailand tetapi meluas ke Myanmar, Kemboja, dan Laos.
Penyokong setianya kekal berpandangan bahawa bahawa Thaksin menjadi mangsa permainan kuasa politik yang memaksanya dibuang ke luar negara.
“Tahukah anda bahawa saya tidak boleh bermeditasi? Setiap kali saya menutup mata, fikiran saya akan melayang ke tempat lain. Saya sentiasa befikir mengenai sesuatu.
“Saya bangun 5.30 pagi, bersenam, bersarapan dan pada 9.30 pagi saya telahpun memulakan kerja,” katanya ketika ditemu bual di sebuah bilik khas yang penuh dengan gambar keluarga.
Thaksin memahami kerisauan negara-negara ASEAN terhadap kumpulan jenayah yang menjalankan pusat penipuan di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar dan di beberapa kawasan di Kemboja serta Laos yang beliau panggil “dirty money”.
“Dirty money inilah yang membiayai pertempuran antara junta Myanmar dan pelbagai kumpulan pemberontak,” katanya menjelaskan kompleksiti dalam perang saudara di negara itu, tetapi menegaskan bahawa pertempuran ini perlu dihentikan.
Awal bulan ini, Paetongtarn telah mengarahkan pemotongan bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi di Shwe Kokko, sebuah bandar di Myanmar tempat ribuan orang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa menjalankan penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di seluruh dunia.
Beliau mengeluarkan arahan itu sehari sebelum lawatannya ke China untuk bertemu dengan Presiden China Xi Jinping.
Thaksin berkata walaupun penduduk tempatan yang tinggai di kawasan tersebut akan terjejas dengan gangguan itu, namun ia sesuatu yang perlu dilakukan, kerana “Thailand mahu masyarakat tempatan memberikan tekanan kepada kumpulan penipu ini untuk meninggalkan tempat itu”.
Akhbar Bangkok Post pada 13 Feb melaporkan bahawa peniaga China telah meninggalkan Payathonzu, sebuah bandar sempadan Myanmar yang bersebelahan dengan wilayah Kanchanaburi di Thailand, selepas bekalan elektrik dihentikan.
Menurut laporan itu, Tentera Demokratik Buddha Karen (DKBA) yang menguasai kawasan tersebut dilaporkan telah mengarahkan perniagaan haram untuk keluar sebelum 28 Feb. Pemotongan perkhidmatan utiliti dari Thailand telah menjejaskan lebih daripada 50,000 orang di Payathonzu.
Thaksin bersetuju bahawa Myanmar merupakan “elephant in the room” untuk ASEAN, yang kepengerusiannya di bawah Malaysia pada masa ini.
Beliau telah mula bekerja untuk membantu dan memberi nasihat kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang beliau sifatkan sebagai “seorang pemimpin yang baik, bijak serta mempunyai pandangan yang luas dan terperinci.”
Menyatakan keyakinannya bahawa Malaysia akan menjalankan tugas dengan baik sebagai pengerusi ASEAN, Thaksin berkata beliau telah mula bertemu pemimpin utama kumpulan pemberontak dalam usaha menyelesaikan konflik bersenjata di Myanmar yang telah berlarutan lebih tiga tahun.
Media Thailand melaporkan bahawa Thaksin telah bertemu dengan pemimpin Majlis Pemulihan Negeri Shan dan Tentera Negeri Shan di Chiangmai pada bulan Mac dan April.
“Mereka datang dengan senarai tuntutan yang panjang, tetapi saya memberitahu mereka supaya kembali dengan senarai yang lebih pendek dan lebih realistik.
“Junta Myanmar juga perlu mengambil pendekatan lebih inklusif untuk membawa kumpulan ini sebelum bercakap mengenai mengadakan pilihan raya umum, yang mungkin akhirnya tidak diperakui, dan menjadi sesuatu yang merugikan,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau mencadangkan ASEAN “perlu bertolak ansur sedikit” jika pihak junta tentera bersetuju untuk berunding dengan kumpulan etnik yang berbeza.
Thaksin juga bersetuju dengan Anwar, bahawa semua pihak perlu terlibat dalam rundingan bagi meredakan konflik ini.
Thaksin berkata beliau juga berharap untuk mengemukakan cadangan dan sokongan kepada ASEAN untuk mula usaha ke arah penggunaan mata wang kripto, dan menambah bahawa ASEAN tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan ini, terutamanya apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dijangka akan mendorong penggunaan lebih meluas mata wang digital.
“Trump secara terbuka telah menyatakan sokongannya terhadap Bitcoin dan mata wang digital lain, jadi ASEAN perlu melihat bagaimana kita boleh bergerak ke hadapan dan tidak terlalu ketinggalan,” katanya.
Bulan lepas, Trump mengarahkan supaya satu kumpulan kerja ditubuhkan bagi mencadangkan peraturan baru berkenaan aset digital, serta meneroka kemungkinan mewujudkan simpanan nasional mata wang kripto.
Mengenai persaingan geopolitik antara AS dan China, Thaksin berkata ASEAN menyedari komplikasinya, namun menegaskan bahawa ASEAN telah sentiasa mengekalkan keperluan untuk mereka berkecuali.
“AS telah menjadi sekutu kita sejak sekian lama, tetapi China ialah jiran kita. Adalah lebih baik jika AS mengadakan lebih banyak interaksi dengan ASEAN,” katanya kita ditanya sama ada Trump akan menunjukkan minat yang lebih terhadap ASEAN, kali ini.
Thaksin berkata ASEAN sebuah rantau dengan lebih 600 juta orang, dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang digabungkan melebihi USD3 trilion, sudah tentunya layak untuk diberi perhatian.
-- BERNAMA
* Penulis, Datuk Seri Wong Chun Wai, mempunyai pengalaman lebih 40 tahun sebagai wartawan dan merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).