RENCANA

Rakam Kisah Cinta Pengantin Baharu Ala Paparazi, Trend Yang Semakin Digemari

20/02/2025 09:27 AM
Daripada Muhammad Basir Roslan

Diundang ke majlis perkahwinan saudaranya pada 2022, Farah Dafri yang mahu mengisi masa terluang, secara secara suka-suka merakam detik bersejarah pasangan raja sehari itu.

“Bersenjatakan” telefon pintar, dia bergerak dari satu sudut ke sudut lain, merakam secara diam-diam ala paparazi Farah mengabadikan hampir keseluruhan momen spontan yang istimewa - lirikan mata pengantin yang malu-malu, usikan ahli keluarga serta saat-saat lucu yang terlepas daripada lensa kamera jurugambar profesional - pada hari itu.  

Rakaman itu disunting menjadi satu persembahan visual yang lain daripada kebiasaan sebelum dimuat naik ke platform media sosialnya dan kemudian turut dikongsikan oleh rakan-rakan.

Tanpa diduga, kreativiti wanita ini memikat hati bakal pengantin baharu yang inginkan hari bersejarah mereka diabadikan dalam bentuk serupa, iaitu sebuah kisah yang diceritakan secara santai dan semula jadi, namun, pada masa sama cukup indah serta penuh emosi untuk tatapan anak dan cucu-cicit mereka di kemudian hari. 

Seiring dengan populariti video yang dimuat naiknya itu, Farah mula menerima permintaan demi permintaan daripada bakal raja sehari, dan melihat potensi ekonomi yang ditawarkan, wanita berusia 34 tahun ini mengambil keputusan untuk menjadikan pencipta kandungan hari perkahwinan sebagai kerjaya baharunya.

 

TUBUH SYARIKAT

Dua tahun berlalu, nama Farah semakin dikenali di Lembah Klang dan dia kini dalam proses mendaftarkan syarikat - Sisi Indah Photography - bagi memastikan kerjayanya lebih teratur serta dilindungi undang-undang, selain memudahkannya mengembangkan perniagaan.

“Sebenarnya, wedding content creator ini telah lama popular di luar negara. Cuma di sini baru menjadi trend. Selepas saya putuskan untuk ceburi bidang ini secara profesional, saya ambil langkah tingkatkan kualiti kerja termasuk melabur dalam peralatan yang berkualiti tinggi, selain mendalami teknik merakam dan menyunting video,” katanya kepada Bernama.

Anak jati Kuantan, Pahang yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus kreatif sebuah jenama fesyen terkemuka, berkata dalam tempoh hampir dua tahun berkecimpung dalam bidang itu, dia telah merakam lebih 20 majlis perkahwinan dengan gaya vlog, iaitu rakaman visual menggunakan telefon pintar yang dipersembahkan secara semula jadi dan autentik.


“Bersenjatakan” telefon pintar, dia bergerak dari satu sudut ke sudut lain, merakam secara diam-diam ala paparazi Farah mengabadikan hampir keseluruhan momen spontan yang istimewa.

Menurutnya, berbanding jurugambar dan juruvideo rasmi yang mengambil masa agak lama untuk menyiapkan foto dan rakaman video sesebuah perkahwinan, video yang dirakam olehnya dimuat naik ke akaun media sosial pengantin pada hari sama atau keesokannya.

“Kalau juruvideo rasmi, mereka biasanya ambil masa untuk serahkan rakaman kepada pasangan pengantin. Namun, bagi pencipta kandungan perkahwinan seperti saya yang bekerja secara ‘informal’, semua rakaman perlu disunting serta siap dimuat naik ke platform media sosial dalam tempoh 48 jam dan ini menuntut kemahiran menyunting yang tinggi,” katanya.    

Menurut Farah, kos yang dikenakannya juga berpatutan iaitu sekitar RM600 untuk tempoh empat jam, merangkumi liputan penuh majlis serta rakaman video pendek untuk dikongsikan di media sosial. Setiap jam selepas itu akan dikenakan caj tambahan.

“Kos yang dikenakan itu memang lebih rendah berbanding di luar negara, kerana di sini trend ini masih baharu. Setahu saya di Indonesia, caj yang dikenakan boleh mencecah RM1,500,” jelasnya.

 

 CABARAN DI SEBALIK LENSA

Menurut Farah, antara ciri utama pencipta kandungan perkahwinan ialah mereka beroperasi secara senyap-senyap tanpa menarik perhatian tetamu dan pihak lain. 

“Kalau jurugambar rasmi, mereka akan mengarah atau mengawal pergerakan pengantin dan ahli keluarga, sedangkan saya bekerja secara halimunan dan merakam momen-momen spontan atau menarik di sepanjang majlis berlangsung.


Farah telah merakam lebih 20 majlis perkahwinan dengan gaya vlog, iaitu rakaman visual menggunakan telefon pintar yang dipersembahkan secara semula jadi dan autentik.

“Untuk memastikan hari itu berlangsung dengan lancar, saya akan memperkenalkan diri kepada jurugambar rasmi dan menjelaskan peranan saya. Malah, saya akan pastikan diri saya tidak termasuk dalam rakaman jurugambar rasmi,” katanya.

Namun kata Farah, tugas pencipta kandungan perkahwinan bukan mudah. Kerjaya itu memerlukan ketangkasan dan kemahiran teknikal yang tinggi.

Lebih-lebih lagi katanya setiap majlis perkahwinan berbeza dan memerlukannya membuat persiapan rapi termasuk dari segi pendekatan yang akan digunakan.  

Baginya, cabaran terbesar ialah memastikan dia tidak terlepas setiap momen penting.

“Majlis perkahwinan boleh berlangsung selama lebih lima jam dan saya perlu sentiasa berada di tempat yang betul pada masa yang tepat. Semua ini memerlukan perancangan rapi dan komunikasi yang baik dengan pengantin serta keluarga mereka,” katanya.

Menggunakan telefon pintar dengan pemegang pelbagai guna serta peranti lampu LED bagi pencahayaan, Farah tidak menafikan yang dia juga sering berdepan dengan cabaran teknikal seperti masalah pencahayaan atau penetapan kamera tidak sesuai, memerlukannya melakukan penyesuaian in situ.

Sementara itu, berkongsi antara pengalaman tidak dilupakan, katanya dia pernah ditegur oleh jurunikah yang tidak tahu dia sedang bertugas merakam detik-detik akad nikah pasangan pengantin. 

“Kejadian itu mengingatkan saya tentang kepentingan menjaga profesionalisme dalam setiap acara,” katanya.

 

PERSAINGAN DALAM INDUSTRI

Sedar trend itu semakin berkembang, Farah bersedia untuk menghadapi persaingan sengit dengan meningkatkan daya kreativitinya.

“Banyak wedding content creator baharu muncul dengan pelbagai gaya dan pendekatan. Jadi, saya sentiasa perlu berinovasi, membaiki teknik rakaman dan memastikan hasil kerja saya mempunyai sentuhan tersendiri,” jelasnya.

Selain itu, harga perkhidmatan juga menjadi faktor utama dalam persaingan. Ada penyedia perkhidmatan yang menawarkan harga lebih rendah untuk menarik pelanggan, tetapi Farah percaya bahawa kualiti harus menjadi keutamaan.

“Antara keutamaan saya ialah memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan, iaitu bukan sekadar menyiapkan video, tetapi merekodkan kisah yang dapat dikenang sepanjang hayat,” katanya.

Seiring dengan perkembangan perniagaannya, Farah turut mengambil langkah proaktif  bagi memastikan dirinya dan pelanggan dilindungi undang-undang.

“Saya dalam proses sediakan borang persetujuan kerana bidang ini memerlukan saya menggunakan akaun media sosial peribadi pelanggan bagi memuat naik rakaman video. 

“Dengan adanya dokumen ini, saya dapat menetapkan syarat yang jelas kepada pelanggan, terutamanya tentang penggunaan video dan platform media sosial mereka, hak cipta serta batasan dalam perkhidmatan yang ditawarkan,” jelasnya.

Langkah itu bukan sahaja memberi perlindungan kepadanya sebagai penyedia perkhidmatan tetapi juga memberi jaminan privasi kepada pelanggan dalam setiap transaksi kerja.

Menutup temu bual, Farah berkata  kejayaan seorang pencipta kandungan perkahwinan tidak hanya bergantung pada teknologi, tetapi juga kebolehan merakam emosi dan menghidupkan kisah cinta pasangan pengantin.

“Setiap pasangan mempunyai perjalanan yang unik, dan saya rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan itu,” katanya yang berpendapat pendekatan vlog lebih sesuai untuk pasangan pengantin zaman sekarang mengabadikan hari bersejarah mereka. 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394392