AM

100,000 Murid Sekolah B40 Terima Bantuan Buku Tulis Kitar Semula

17/02/2025 01:25 PM

SEREMBAN, 17 Feb (Bernama) -- Sebanyak 100,000 murid daripada keluarga B40 akan menerima bantuan buku tulis melalui Program 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula yang membabitkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Ketua Pengarah KPM Azman Adnan berkata sebagai permulaan 2,060 sekolah terlibat bagi tahun pertama penganjuran iaitu semua sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Inisiatif ini bertujuan memupuk kesedaran dan semangat mesra alam sekitar dalam kalangan murid serta meringankan beban kewangan golongan B40 dalam menyediakan keperluan asas pendidikan anak-anak.

"Bantuan buku tulis ini melibatkan sejuta buku tulis untuk kegunaan 100,000 murid dengan pengagihan 10 buku tulis seorang kepada 40 murid miskin dan miskin tegar di setiap sekolah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penyerahan Program 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Khalidah Omar dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Mohd Khair Ngadiron.

Sementara itu, Mohd Khair berkata pihaknya menyasarkan lebih lebih dua juta buku tulis kitar semula dapat diagihkan kepada murid B40 di seluruh negara pada tahun hadapan.

Beliau berkata pihaknya sangat mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan individu untuk menyumbang kepada program tersebut.

"Individu dan syarikat yang menyertai program ini turut mendapat pelepasan cukai hingga 10 peratus sebagai langkah penjimatan sebagai pembayar cukai," katanya.

Projek tanggungjawab sosial korporat berteraskan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus yang dikendalikan Perbadanan Kota Buku itu, merupakan bantuan buku tulis berasaskan kertas kitar semula yang dijalankan bersama rakan peneraju Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan rakan strategik utama, CP Integrated Sdn Bhd.

Mohd Khair berkata bantuan buku tulis ini turut diberikan kepada murid B40 terpilih di 44 sekolah pilihan di Johor, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan.

Beliau berkata 18 syarikat tempatan telah menyumbang bagi projek ini termasuk sebuah syarikat antarabangsa C.A.S Paper Mill (Thailand) membabitkan jumlah keseluruhan sumbangan RM650,000 dengan tajaan sejuta buku tulis.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393248