DUNIA

Agensi Berita Akan Terus Relevan Seperti Radio Walaupun Teknologi Baharu Muncul - Setiausaha Agung OANA

17/02/2025 03:35 PM

 

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Agensi berita akan terus wujud seperti saluran media lama lain termasuk radio, meskipun pelbagai teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) semakin berkembang, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) Zaman Rezakhani.

Zaman, yang juga Pengarah Hubungan Antarabangsa Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), berkata sebelum ini kewujudan radio dan televisyen pernah diramalkan akan menyebabkan agensi berita menjadi lapuk, namun realitinya, agensi berita terus berkembang sehingga hari ini.

"Jika kita lihat 50 tahun lalu, operasi agensi berita sangat berbeza. Mereka menghantar berita menerusi telegraf. Kini, mereka menggunakan instrumen digital dan beroperasi secara dalam talian. Laman sesawang tidak mengancam agensi berita, malah membantu mereka kekal relevan.

"AI juga adalah teknologi baharu, sama seperti laman sesawang. Kita boleh memanfaatkannya dan ia akan membantu kita menjangkau generasi baharu. Kurang audiens? Saya tidak fikir ia ancaman besar," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA ke-54 di sini, Isnin.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif yang menanggungjawab tugas Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Mohd Shukri Ishak.

Menurut Zaman, agensi berita boleh kekal relevan sekiranya mereka menerima pakai teknologi baharu serta menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan audiens.

Namun, beliau menegaskan bahawa AI tidak sesuai digunakan dalam semua aspek penulisan berita, sebaliknya lebih berkesan untuk berita rutin seperti keputusan perlawanan sukan atau pasaran saham.

"AI boleh membantu dalam hal ini, tetapi untuk artikel mendalam yang melibatkan hubungan dengan khalayak, kita perlu lebih berhati-hati," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaannya pada EBM, Zaman berkata AI menjadi satu peluang apabila agensi berita profesional menggunakannya untuk menyampaikan berita dengan pantas dan boleh dipercayai.

Sebaliknya, AI menjadi ancaman apabila disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan maklumat palsu.

Beliau turut menghargai usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini dalam mempromosikan kerjasama antara negara-negara Asia serta peranan aktif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai ahli berpengaruh dalam OANA.

Zaman juga mengucapkan tahniah kepada Agensi Berita Vietnam (VNA) dan Kyodo News yang akan menyambut ulang tahun ke-80, serta Agensi Berita Qatar yang menyambut ulang tahun ke-50 tahun ini.

Menurutnya, mesyuarat OANA bukan sekadar forum untuk membuat keputusan kolektif, tetapi juga peluang penting untuk menjalin hubungan profesional serta bertukar pandangan dan idea.

OANA ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memudahkan pertukaran berita secara langsung dan bebas dalam kalangan agensi berita di rantau yang merangkumi lebih separuh daripada populasi dunia.

OANA kini mempunyai 41 agensi berita dari 33 negara sebagai ahli, dengan 13 agensi menganggotai Lembaga Eksekutifnya.

EBM OANA diadakan setiap tahun, dengan mesyuarat terakhir dianjurkan di Rusia.

Mesyuarat ke-54 ini menghimpunkan wakil daripada 13 agensi berita antarabangsa iaitu Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), Yonhap (Korea Selatan), Azertac (Azerbaijan), TASS (Rusia), Anadolu Ajansi (Turkiye), Xinhua (China), WAM (Emiriah Arab Bersatu), Kyodo News (Jepun), Agensi Berita Qatar, Agensi Berita Vietnam, Montsame (Mongolia), Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional atau ANTARA (Indonesia) dan MEHR News Agency (Iran).

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393270