DUNIA

China, Laos Bina Pusat Kerjasama Inovasi AI

26/02/2025 03:44 PM

VIENTIANE, 26 Feb (Bernama-CMG) -- China dan Laos menandatangani perjanjian mengenai pembinaan pusat kerjasama inovasi kecerdasan buatan (AI) di sini, pada Ahad.

Majlis pemeteraian perjanjian berkenaan disaksikan oleh Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, Chen Gang bersama Menteri Teknologi dan Komunikasi Laos, Boviengkham Vongdara.

Difahamkan, pusat itu merupakan platform kerjasama AI yang pertama antara China dengan negara ASEAN.

Pusat itu bertujuan meningkatkan keupayaan AI Laos dan memperkasakan pembangunan pelbagai sektor di negara berkenaan.

Guangxi komited bekerjasama dengan negara ASEAN untuk membina pusat inovasi AI dengan membantu pembangunan model AI berdaulat, serta memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti data rentas sempadan, latihan bakat dan sebagainya.

Inisiatif berkenaan akan memajukan inovasi dalam pengaplikasian teknologi AI, menyokong pemeliharaan bahasa dan budaya negara ASEAN menerusi pendigitalan serta mewujudkan pembangunan AI demi kebaikan dan kesejahteraan manusia.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396779