AM

DBKL Pertimbang Senarai Hitam, Batal Lesen Peniaga Jual Tapak Bazar Ramadan

26/02/2025 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan pembatalan lesen dan menyenarai hitam mana-mana peniaga yang didapati menjual tapak sewaan bazar Ramadan kepada pihak ketiga. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan yang sama mungkin dikenakan kepada pihak ketiga yang menyewa tapak sewaan daripada penerima lesen tersebut.

“Sekiranya ada aduan berkaitan perkara itu dan didapati benar ia berlaku, DBKL akan ambil tindakan tegas terhadap kedua-dua pihak iaitu pemberi lesen (yang menjual tapak kepada pihak ketiga) dan penerima (yang menyewa di atas tapak sewaan) dengan membatalkan lesen mereka dan kita akan senarai hitam.

“Ini satu amaran keras kerana kali ini kita mahu supaya pelaksanaan (bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kuala Lumpur) dilakukan secara betul selain usaha untuk membantu golongan peniaga kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Taklimat Media berhubung Bazar Ramadan dan Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata setakat ini DBKL belum menerima sebarang aduan berkaitan cubaan untuk penjualan tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri kepada pihak ketiga.

Pada masa yang sama, beliau berkata orang ramai juga boleh membuat aduan kepada DBKL mahupun polis sekiranya mengetahui ada mana-mana pihak mahu menjual atau melelong tapak sewaan bazar tersebut kepada pihak ketiga agar tindakan segera boleh diambil.

Selain itu, beliau turut mengingatkan peniaga di tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri supaya tidak menggunakan khidmat pembantu warga asing sebagai pekerja kerana ia telah ditetapkan dalam perundangan kecil DBKL.

“Pemotongan cagaran 100 peratus daripada kadar caj sewaan tapak juga akan dikenakan sekiranya didapati peniaga bazar tersebut menggajikan pekerja warga asing sama ada yang memiliki dokumen sah atau sebaliknya.

“Selain itu, suntikan tifoid sangat penting kerana sekiranya tiada suntikan itu mungkin boleh menyebabkan keracunan makanan serta penularan penyakit, dan saya minta supaya perkara ini dimasukkan sebagai syarat utama untuk potong cagaran 100 peratus sekiranya peniaga tidak mengambil suntikan berkenaan,” katanya.

Kadar caj bagi bazar Ramadan tahun ini ialah RM500 termasuk cagaran RM200 manakala caj bagi bazar Aidilfitri ialah RM2,700 termasuk cagaran RM2,000.

Dalam perkembangan sama, Dr Zaliha berkata setakat ini permohonan lesen berniaga di lot sewaan tapak bazar Ramadan serta Aidilfitri yang telah diluluskan hampir penuh.

DBKL menyediakan 3,567 tapak sewaan bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini membabitkan 42 lokasi yang meliputi 40 bazar Ramadan dan dua bazar Aidilfitri.

-- BERNAMA  

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396769