ISKANDAR PUTERI -- Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik dan akan berjuang habis-habisan untuk meraih kemenangan apabila berdepan Pohang Steelers pada aksi terakhir Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di sini malam esok.
Bagaimanapun, pengendali JDT Hector Bidoglio menjangkakan cabaran sengit daripada Pohang Steelers kerana kelab dari Korea Selatan itu juga masih dalam perebutan untuk menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik dan mara ke pusingan 16.
“Pada pandangan saya, perlawanan esok pasti sukar tetapi kami mempunyai peluang yang baik untuk layak ke pusingan 16... adalah penting untuk menang dan mendapatkan kedudukan terbaik dalam carta liga.
“Pada awalnya, matlamat kami hanyalah untuk layak ke pusingan 16 dan kini apabila kami semakin hampir mencapainya, kami perlu menjadi lebih kuat untuk melangkah lebih jauh.
“Para pemain berada dalam keadaan yang baik menjelang perlawanan esok dan kami perlu terus bekerja sebagai satu pasukan.
“Kami perlu terus mengaum dan meningkatkan tahap intensiti permainan kami,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Untuk rekod, JDT kini berada di tempat kelima dalam peringkat kumpulan Zon Timur dengan 11 mata manakala Pohang Steelers di kedudukan kelapan dengan sembilan mata.
Salah satu kelebihan buat JDT ialah semua pemain berada dalam keadaan terbaik, selain kehadiran semula Juan Muniz dan Murilo Henrique selepas tamat penggantungan, yang dianggap sebagai suntikan tambahan buat skuad Harimau Selatan.
Bidoglio turut menyatakan walaupun Anselmo Moraes baru sahaja menyertai pasukan dua hari lepasdan beliau yakin pemain berusia 35 tahun itu dapat memberi sumbangan berguna kepada pasukan.
Namun, JDT perlu berwaspada dengan ancaman Pohang Steelers selepas ketua jurulatihnya Park Tae-Ha, memberi amaran pasukannya bertekad untuk meraih tiga mata penuh esok.
Tae-Ha yakin skuad kendaliannya mampu memberikan aksi terbaik walaupun bakal beraksi di hadapan lebih 30,000 penyokong JDT di Stadium Sultan Ibrahim di sini.
“Matlamat kami adalah untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik. Kami mahu fokus pada perlawanan seterusnya selepas menjalani latihan pramusim yang baik.
“Saya percaya jika kami bermain dengan prestasi terbaik, kami mampu menang.
“… Saya juga perlu memberi perhatian kepada pemain nombor 9 (Bergson da Silva) dan nombor 30 (Natxo Insa) dalam pasukan JDT.
“Kedua-dua pemain ini sering mencetuskan impak dan menjadi pemangkin kebangkitan pasukan mereka,” katanya ketika ditanya mengenai pemain JDT yang perlu diawasi.
-- BERNAMA