SUKAN

Rekod Asia Alia Sazana Tidak Akan Dikira Sebagai Rekod Dunia

18/02/2025 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita yang dicipta penembak berpengalaman negara Alia Sazana Azahari di Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok baru-baru ini, tidak akan dikira sebagai rekod dunia.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kehormat Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Mejar (B) Jasni Shaari, yang menyatakan persatuan tidak akan membuat sebarang rayuan kepada Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) untuk mengiktiraf rekod berkenaan sebagai rekod dunia. 

Beliau berkata persatuan itu sudah sedia maklum bahawa sebarang rekod dunia yang dicipta di Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 itu tidak akan dikira kerana kejohanan berkenaan tidak diiktiraf oleh ISSF. 

“Sama seperti kejohanan menembak kebangsaan, kalau kita pecah rekod Olimpik di kejohanan kebangsaan, rekod itu tidak akan dikira sebagai rekod Olimpik. Bagi Alia walaupun rekodnya melebihi rekod dunia ia tetap tidak akan dikira kerana kejohanan Asia tidak diiktiraf oleh ISSF. 

“(Persatuan) tak boleh (membuat rayuan), sebab peraturannya sudah memang begitu, buat sementara ini rekod Asia sahajalah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Alia Sazana memecahkan rekod Asia sekali gus membidik emas dalam acara 25m pistol wanita pada kejohanan tersebut Ahad lepas. 

Pada pusingan final di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 target  sekali gus memadam rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta penembak Korea Selatan, Yang Jiin pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Pingat perak menjadi milik penembak Korea Selatan, Lee Siyoon dengan catatan 32 hit manakala Teh Xiu Yi dari Singapura mencatatkan 28 hit untuk memenangi pingat gangsa.

Lebih mengagumkan, pencapaian Alia Sazana turut mengatasi rekod dunia semasa iaitu 42 hit yang dicipta penembak Korea Selatan, Kim Ye-ji pada Kejohanan Dunia di Baku tahun lepas.

Ini adalah emas kedua Malaysia dalam kejohanan tersebut selepas Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mendominasi acara 10m air pistol wanita dengan 239.3 mata Khamis lepas.

Kejohanan yang bermula 9 Feb lepas akan berlangsung hingga 22 Feb ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393737