AM

Program WeBBB Tingkat Peranan Wanita Dalam Keusahawanan - TPM Fadillah

20/02/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Program MADANI Women Empowerment - Creating Distinctive Womenpreneurs in Wealth, Brain, Beauty and Behavior (WeBBB) ialah inisiatif penting untuk memberikan nilai tambah dan meningkatkan peranan wanita dalam bidang keusahawanan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata menerusi pendekatan menyeluruh, inovatif dan berdaya saing, program itu bertujuan mewujudkan peluang saksama serta merangsang pembangunan ekonomi melalui penglibatan aktif wanita dalam menghadapi cabaran ekonomi global masa kini.

“Dalam hal ini, saya kagum melihat pencapaian program ini yang telah berjaya melahirkan graduan daripada pelbagai latar belakang ekonomi, peringkat umur dan bangsa. 

“Majoriti graduan pula terdiri usahawan mikro, B40, ibu tunggal, asnaf, mualaf dan dalam kalangan usahawan muda yang menjual pelbagai produk seperti makanan, fesyen, perkhidmatan dan farmaseutikal,” katanya pada Majlis Konvokesyen Pertama Program MADANI Women Empowerment - WeBBB hari ini.

Pada masa sama, Fadillah berkata golongan wanita juga semakin aktif dalam dunia pekerjaan, mengisi jawatan dalam pelbagai sektor termasuk bidang profesional dan keusahawanan. 

Beliau berkata keberadaan wanita dalam sektor ekonomi membantu menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara, termasuk menjalankan perniagaan dari rumah menerusi medium digital. 

Seramai 400 graduan berjaya dilahirkan menerusi program itu yang berlangsung selama enam bulan secara fizikal, dalam talian dan hibrid, melibatkan 121 kursus seperti Kursus Pengurusan Bakat dan Penilaian Kecerdasan Pelbagai, Usahawan Wanita Inovatif dan Kemampanan Ekonomi serta Pengurusan Kewangan Mampan.

Antara objektif program itu ialah menyediakan akses pembiayaan dan sokongan  kewangan,  membangunkan platform berinteraksi, berkolaborasi dan memperluas rangkaian perniagaan bersama industri tempatan dan luar negara. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394664