EKONOMI

Malaysia Harus Percepatkan Pertumbuhan Produktiviti Untuk Bergerak Seiring Dengan Negara Serantau

20/02/2025 09:34 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Produktiviti Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan bagaimanapun tidak cukup pantas terutamanya jika dibandingkan dengan negara lain yang pernah berada pada kedudukan sama, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau memberi contoh Malaysia dan Korea Selatan, kedua-duanya beralih kepada berpendapatan sederhana daripada negara berpendapatan rendah , masing-masing mempunyai aspirasi untuk mencapai status berpendapatan tinggi.

Pada tahun 1970-an, kedua-dua negara sangat bergantung kepada pertanian dan sumber asli.

"Antara 1996 dan 2022, tahap produktiviti Korea Selatan meningkat pada kadar purata tahunan 2.9 peratus manakala produktiviti Malaysianaik pada kadar 1.6 peratus setahun," katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam ucapannya sebelum menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Siemens Malaysia Sdn Bhd. 

Seterusnya beliau melancarkan ‘Siemens Xcelerator Experience Centre’ di sini.

Tengku Zafrul berkata walaupun pertumbuhan stabil Malaysia adalah memuaskan, lebih banyak lagi boleh dilakukan susulan asas kukuh dibina melalui inisiatif pembaharuan industri di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan langkah dasar lain di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)  

“Semua inisiatif ini telah menarik aliran masuk pelaburan asing berkualiti tinggi yang stabil, terutamanya dalam semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital.

"Menerusi pelaburan asing ini, kami menyasarkan untuk memastikan pemindahan teknologi dalam bidang seperti automasi, robotik, dan kecerdasan buatan (AI) akan membina pangkalan industri mampan dan berdaya tahan," katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia mesti bertindak lebih tangkas dan melaksanakan inisiatif perindustriannya tanpa berlengah-lengah.

“Dasar sahaja tidak mencukupi. Ia mesti dipadankan dengan pelaksanaan berdisiplin dan melibatkan semua pihak dari seluruh negara. Salah satu faktor kejayaan utama Korea Selatan ialah pelaburannya dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Pelaburan R&D Korea Selatan menyumbang lebih 4.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kebanyakannya didorong oleh sektor swasta manakala R&D Malaysia hanya pada 1.0 peratus, kebanyakannya dipacu oleh inisiatif kerajaan, katanya.

Sementara itu, MPC dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa kerjasamanya dengan Siemens menyasarkan untuk melatih 10,000 bakat (pekerja berkemahiran) dalam industri dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Dengan menyepadukan dunia sebenar dan digital, Siemens Xcelerator Experience Centre akan memanfaatkan teknologi termaju seperti ‘digital twins’, AI dan pengkomputeran awan. Ini akan menyokong peningkatan kemahiran bakat industri, pembangunan tenaga kerja yang mampan, dan penggunaan transformasi digital merentas sektor utama untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan.

"Usaha ini bertujuan untuk memacu transformasi perindustrian Malaysia dan agenda pertumbuhan ekonomi seperti digariskan dalam NIMP 2030," katanya.

MPC berkata inisiatif itu juga dijangka menyumbang kepada memacu KDNK Malaysia dengan mewujudkan lebih banyak peluang untuk industri dan menggalakkan gaji lebih tinggi untuk pekerja tempatan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394759