PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Produktiviti buruh Malaysia per jam bekerja meningkat 1.4 peratus pada suku keempat 2024 (S4 2024) mencatatkan RM44.2 sejam, menurut Statistik Produktiviti Buruh S4 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus pada S4 2024 berbanding 5.4 peratus pada suku ketiga 2024 (S3 2024) manakala jumlah jam bekerja meningkat 3.5 peratus kepada 9.7 bilion jam (S3 2024: 2.7 peratus; 9.7 bilion jam).
"Jumlah pekerja menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.7 peratus, mencatatkan 16.8 juta orang (S3 2024: 2.9 peratus; 16.7 juta orang) pada S4 2024 manakala produktiviti buruh per pekerja meningkat 2.2 peratus merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM25,647 seorang (S3 2024: 2.4 peratus; RM25,081 seorang)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai tambah per jam bekerja pada suku ini didorong oleh pertumbuhan dalam sektor pembinaan sebanyak 18.7 peratus (S3 2024:20.0 peratus), diikuti sektor pembuatan sebanyak 2.4 peratus (S3 2024: 3.4 peratus) dan sektor perkhidmatan 0.9 peratus (S3 2024: 1.4 peratus).
Sektor perlombongan dan pengkuarian serta sektor pertanian masing-masing merosot -2.7 peratus (S3 2024: -5.7 peratus) dan -1.8 peratus (S3 2024: 4.2 peratus).
Prestasi produktiviti buruh per jam bekerja bagi sektor perkhidmatan pada S4 2024 didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan (7.6 peratus), hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.1 peratus), kewangan dan insurans (3.2 peratus), perkhidmatan lain (1.7 peratus) serta maklumat dan komunikasi (0.7 peratus).
“Tiga subsektor menunjukkan pertumbuhan negatif iaitu utiliti (-1.5 peratus), perdagangan borong dan runcit (-0.5 peratus), serta makanan dan minuman serta penginapan (-0.5 peratus),” katanya.
Dalam pada itu, prestasi sektoral bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja pada suku ini disumbangkan oleh pertumbuhan mampan dalam sektor Pembinaan pada 19.7 peratus (S3 2024:18.9 peratus), diikuti oleh sektor pembuatan pada 3.0 peratus (S3 2024: 4.1 peratus); dan sektor perkhidmatan pada 1.8 peratus (S3 2024: 1.3 peratus).
Sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan masing-masing pada negatif 1.7 peratus (S3 2024: 3.0 peratus) dan negatif 1.3 peratus (S3 2024: -4.0 peratus).
Mengulas lanjut mengenai prestasi keseluruhan produktiviti buruh bagi tahun 2024, Mohd Uzir berkata prestasi produktiviti buruh per jam bekerja meningkat 2.1 peratus (2023: 0.1 peratus) dengan nilai ditambah per jam bekerja sebanyak RM42.8 setiap jam (2023: RM41.9 setiap jam).
“Begitu juga produktiviti buruh per pekerja yang menunjukkan momentum positif pada 2.4 peratus (2023: 0.7 peratus) untuk mencatatkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM99,137 seorang (2023: RM96,780 seorang),” katanya.
-- BERNAMA