PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) -- Pasaran buruh negara mengukuh dengan 17.34 juta orang pada suku keempat 2024 berbanding 16.91 juta orang pada suku yang sama 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Sorotan Pasaran Buruh Suku Keempat 2024 (LMR ST4 2024) yang diterbitkan hari ini.
Produktiviti buruh meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM25,647 per pekerja pada suku keempat 2024 daripada RM25,101 per pekerja pada 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh yang kukuh itu didorong oleh peningkatan dalam penawaran dan permintaan buruh.
"Perkembangan ini mencerminkan prestasi ekonomi negara yang kukuh, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan persekitaran yang menggalakkan bagi industri, menyebabkan peningkatan dalam pengeluaran dan permintaan buruh yang lebih tinggi.
“Kesan daripada itu, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus melebihi jangkaan pada 2024," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pertumbuhan itu juga dirangsang oleh peningkatan pelaburan yang kukuh dan pertumbuhan yang stabil dalam eksport barangan dan perkhidmatan.
"Faktor ini menyumbang kepada guna tenaga yang lebih tinggi, peningkatan peluang pekerjaan, dan peningkatan keseluruhan dalam penyertaan tenaga buruh," katanya.
Mohd Uzir berkata bilangan penganggur juga turun kepada 546,900 orang pada suku keempat 2024 daripada 565,000 pada suku yang sama 2023 manakala kadar pengangguran kekal 3.2 peratus.
Melihat kepada situasi guna tenaga tidak penuh, beliau berkata pertumbuhan berterusan dalam guna tenaga sepanjang suku keempat 2024 menyebabkan bilangan penduduk yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatatkan penurunan 8.6 peratus berbanding suku yang sama 2023, dengan jumlah keseluruhan 261,400 orang.
Mohd Uzir berkata permintaan buruh di Malaysia kekal stabil dengan 9.05 juta jawatan direkodkan dalam sektor swasta, mewakili peningkatan tahunan sebanyak 1.3 peratus.
Daripada jumlah ini, 97.9 peratus atau 8.86 juta jawatan adalah jawatan diisi manakala 2.1 peratus atau 193,600 adalah kekosongan terutamanya dalam sektor pembuatan, yang menyumbang 57.1 peratus atau 110,500 daripada jumlah kekosongan.
Selain itu, pewujudan jawatan juga menyaksikan kenaikan 1.3 peratus tahun ke tahun dengan merekodkan 31,500 pada suku keempat 2024 berbanding 31,100 pada suku keempat 2023.
Mohd Uzir berkata Malaysia melangkah ke tahun 2025 dengan keyakinan positif disokong oleh pasaran buruh yang stabil, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, peningkatan pelaburan dan sektor import-eksport yang berdaya saing.
"Inisiatif strategik kerajaan bersama peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, membuka peluang besar untuk memperkukuhkan ekonomi domestik, menambah baik kedudukan di peringkat global, dan memperkukuhkan perpaduan serantau," katanya.
Mohd Uzir berkata di sebalik ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang membentuk landskap global, kepimpinan Malaysia yang berlandaskan 'Visi Komuniti ASEAN 2045' menyediakan platform untuk mempamerkan kestabilan negara, menarik lebih banyak pelaburan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau.
-- BERNAMA