KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah pada Isnin, dipengaruhi penjualan berterusan berikutan prestasi bursa serantau yang tidak menentu susulan penjualan yang dialami Wall Street.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.56 mata atau 0.66 peratus kepada 1,580.47 daripada 1,591.03 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks penanda aras itu turun 4.64 mata kepada 1,586.39 semasa dibuka hari ini.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 633 berbanding 181, manakala 407 kaunter tidak berubah, 1,132 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.26 bilion saham bernilai RM738.99 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street ditutup rendah apabila Indeks Pengurus Pembelian (IPP) perkhidmatan yang dikeluarkan menunjukkan data yang lebih hambar daripada yang dijangkakan.
Kalangan pelabur akan memantau keyakinan pengguna, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) awal bagi suku ke suku, tuntutan pengangguran, dan indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) teras bulanan di Amerika Syarikat minggu ini.
“Kami mendapati terdapat peluang dagangan dalam kaunter produk dan perkhidmatan perindustrian serta kaunter sarung tangan.
“Walaupun berlaku penjualan baru-baru ini namun kami tetap optimistik terhadap prospeknya, disokong oleh aktiviti pengisian semula stok yang positif dan tarif tambahan ke atas pengeluar sarung tangan China, yang akan mengalihkan dinamik pasaran ke arah pengeluar sarung tangan Malaysia,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing menambah dua sen kepada RM10.52 dan RM8.38.
Public Bank turun dua sen kepada RM4.48 dan Tenaga Nasional susut 22 sen kepada RM13.76, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.26.
Bagi kalangan saham aktif, Ingenieur Gudang dan Harvest Miracle Capital masing-masing mendatar pada lima sen dan 13 sen, manakala RGB International dan MY E.G. Services masing-masing kurang dua sen kepada 42.5 sen dan RM1.02.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 102.47 mata kepada 11,889.19, Indeks FBMT 100 kurang 96.70 mata kepada 11,628.53, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 144.27 mata kepada 11,572.64, Indeks FBM 70 turun 218.27 mata kepada 17,186.59 manakala Indeks FBM ACE kurang 62.40 mata kepada 4,858.58.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 4.15 mata kepada 160.90, Indeks Tenaga berkurangan 12.60 mata kepada 773.16, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 21.04 mata kepada 19,296.99, manakala Indeks Perladangan meningkat 36.26 mata kepada 7,494.58.
-- BERNAMA