KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembaharuan semula bandar bukanlah agenda baharu di bawah Kerajaan MADANI, tetapi telah dimulakan sejak 2012 dengan penggubalan Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar.
Beliau berkata perbincangan awal telah dilaksanakan bagi menggubal akta khusus pembaharuan semula bandar untuk melancarkan proses pembangunan di sekitar Kuala Lumpur pada 2013, sebelum proses penggubalan akta itu diumum pada 2015.
Perdana Menteri berkata bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa pada 2020 telah menerajui Program Pembaharuan Semula Bandar di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), melibatkan rumah pangsa berusia lebih 40 tahun.
“Pada 2021, Menteri Perumahan (dan Kerajaan Tempatan) Datuk Zuraida Kamaruddin memulakan penggubalan RUU PSB (Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar), 22 Mac 2022 Menteri KPKT (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meneruskan dan menegaskan prinsip yang sama.
“Yang Berhormat Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan) pada September 2022, malah menetapkan DBKL telah mengenal pasti 30 kawasan untuk pembaharuan semula.
“Sejak 2012, sebanyak 74 kali sesi libat urus diadakan dan kita mengambil kira masalah yang dihadapi rakyat,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai komitmen kerajaan atas cadangan RUU PSB, yang akan memastikan tiada sesiapa pemilik tanpa kira kaum diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan seperti yang dinyatakan dengan jelas Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri berkata penggubalan RUU PSB tidak akan mengenepikan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, serta prinsip perundangan sedia ada.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan RUU itu tidak akan memindahkan pemilik asal hartanah, selain komposisi etnik dan status tanah sama ada rizab Melayu, milik kerajaan atau tetap.
“Tentang pemilikan etnik...contohnya Flat Sri Perlis, kalau sekarang ini 70 peratus (pemilikan) Melayu, kekal kerana dalam undang-undang ini tidak ada hak untuk kita pindahkan pemilik asal,” kata beliau.
Justeru, Anwar berkata tidak timbul sama sekali isu pemilik asal hartanah, tanpa mengira kaum akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan.
Mengenai keperluan nilai ambang persetujuan antara 51 hingga 80 peratus daripada pemilik hartanah menerusi cadangan RUU itu, Perdana Menteri berkata perkara tersebut perlu bagi memudahkan proses pembaharuan semula.
“Nilai ambang perlu...contohnya ada projek yang seorang tidak bersetuju, benda ini tertangguh. Ada proses (untuk isu seperti ini)? Boleh dibawa ke mahkamah. Berapa tahun? lima tahun, kemudian nilai diberikan oleh mahkamah nilai semasa, tidak seperti kita bangkitkan, dia akan dapat lebih daripada sekarang. Jadi kita ada pilihan.
“Kalau benar kita nak bela rakyat, guna ini (PSB) supaya kita dapat tingkatkan. Rumah yang sekarang RM70,000 boleh jadi RM200,000 (tetapi), kalau buat penilaian dia kekal RM70,000,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI komited terhadap usaha pembaharuan bandar, walaupun terdapat kontroversi dan fitnah yang dikaitkan dengan isu tanah rizab Melayu.
Beliau berkata tidak ada mana mana-mana pentadbiran termasuk Perikatan Nasional (PN) yang pernah mengisytiharkan 20.2 hektar tanah, sebagai tanah rizab Melayu.
Menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI bersetuju supaya 20 hektar daripada pembangunan projek strategik Bandar Malaysia, diperuntukkan sebagai Tanah Rizab Melayu.
“Ini sebab saya rasakan kebijaksanaan termasuk kerajaan-kerajaan terdahulu mencadangkan (pembaharuan semula), cuma seperti kita tahu sebaik sahaja ada yang dianggap kontroversi, semua tangguh.
“Kita ambil keputusan walaupun ada kontroversi, tindakan, fitnah dan yang mencemaskan soal tanah Melayu dan sebagainya, saya nak sebut kerajaan ini kali pertama dalam sejarah sejak merdeka 1957 yang mengisytiharkan 50 ekar Bandar Seri Malaysia sebagai rizab Melayu, tidak ada sebelum itu.
“On the record, belum ada kerajaan sebelum ini termasuk PN yang berani mengisytiharkan mana-mana kawasan di Kuala Lumpur sebagai rizab Melayu,” kata Anwar.
-- BERNAMA