SUKAN

KBS Pertimbang Gunakan Teknologi Dan Inovasi Dalam Sukan Untuk Tarik Tajaan Korporat

25/02/2025 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mempertimbangkan penggunaan teknologi dan inovasi dalam sukan sebagai antara strategi baharu bagi menarik minat syarikat-syarikat korporat dalam menaja kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Timbalan Menteri berkenaan Adam Adli Abd Halim berkata penggunaan aplikasi mudah alih dan media maya dapat diteroka untuk memperluas capaian tontonan kejohanan pada bila-bila masa.

Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menawarkan pakej penajaan yang lebih fleksibel dan menarik, dengan pulangan yang jelas (return on investment), termasuk ruang penjenamaan di pelbagai saluran seperti media sosial, televisyen, siaran langsung, dan bahan promosi.

Menurut beliau, strategi ini juga bertujuan mengukuhkan pembangunan jenama melalui pengiktirafan antarabangsa, seperti penganjuran acara Le Tour de Langkawi yang berpotensi menarik penonton antarabangsa.

"Strategi ini ditawarkan kepada syarikat-syarikat korporat tempatan yang berhasrat mengembangkan pasaran jenama mereka ke luar negara melalui penajaan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang akan mewujudkan dan meningkatkan pengaruh penjenamaan penaja di peringkat antarabangsa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai strategi baharu yang dirangka untuk menarik minat syarikat-syarikat korporat bagi menaja kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Adam Adli turut mengalu-alukan syarikat korporat untuk tampil bekerjasama bagi mengukuhkan pembangunan sukan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396245