AM

Pindaan Akta Perkhidmatan Bomba Dibentang Untuk Bacaan Kali Pertama Di Dewan Rakyat

25/02/2025 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025, yang bertujuan untuk memasukkan peruntukan bagi pendaftaran Pasukan Bomba Sukarela, telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, yang membentangkan RUU tersebut, berkata bacaan kedua akan dibuat pada sidang kali ini.

Rang undang-undang yang bertujuan meminda Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) ini juga mengandungi peruntukan untuk pendaftaran perunding keselamatan kebakaran, firma perunding keselamatan kebakaran, individu kompeten, kontraktor keselamatan kebakaran, penyedia latihan dan pengajar, serta kelengkapan dan pemasangan keselamatan kebakaran.

Selain itu, menerusi RUU ini, Akta 341 dicadangkan dipinda dengan memasukkan Seksyen baharu 50A yang berkaitan dengan penyamaran sebagai Pegawai Bomba, Pegawai Bomba Bantuan, dan Pegawai Bomba Sukarela.

Menurut RUU ini, individu yang berpura-pura menjadi Pegawai Bomba, Pegawai Bomba Bantuan, atau Pegawai Bomba Sukarela, serta menyalahgunakan nama, logo, tanda khas, atau apa-apa tanda lain yang berkaitan dengan bomba, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396295