KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan telah menjimatkan RM1.7 bilion apabila pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok disegerakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ini susulan keputusan kerajaan supaya ketiga-tiga fasa bagi pembinaan projek itu disekalikan, termasuk fasa yang diselenggara Majlis Keselamatan Negara.
“… dalam rundingan kita, Sungai Golok, Rantau Panjang dan juga soal mengorek, membersihkan muara Sungai Golok, (ia) melibatkan kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan Thailand.
“...bila kita menyegerakan, penjimatan kos ketiga-tiga fasa PLSB Sungai Golok itu kita jimat RM1.7 bilion ringgit sebab itu saya katakan soal tatakelola ketelusan projek harus dijaga,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata kerajaan negeri Kelantan juga telah memberi jaminan diselesaikan dalam enam bulan berbanding pengambilan tanah sebelum ini yang memerlukan lebih 24 bulan.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) berhubung langkah proaktif bagi menangani banjir pada setiap kali musim monsun, serta faktor luar jangka di kawasan yang sering dilanda banjir serta berpotensi dilanda banjir pada masa akan datang.
Perdana Menteri berkata mengikut unjuran sebelum ini, fasa ketiga projek PSLB Sungai Golok itu akan bermula pada tahun 2027, namun kerajaan memutuskan untuk mempercepatkannya bagi mengurangkan jumlah kerugian.
Bagaimanapun, Anwar berkata perkara itu bergantung kepada tempoh proses pengambilan tanah.
“... apa yang kita lakukan sekarang ialah mempercepatkan itu bermakna (proses) pengambilan tanah itu perlu cepat.
“...kadang-kadang negeri itu mengambil masa dua tahun, paling cepat satu tahun, jadi dengan Menteri Besar Kelantan semalam, saya kata tak boleh...kalau siap (pengambilan tanah) enam bulan, enam bulan (segera) kita mula (PLSB),” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai jumlah kerugian ditanggung kerajaan akibat penangguhan pelaksanaan PLSB sebelum ini.
Anwar turut memaklumkan projek Tebatan Banjir Keutamaan Tinggi (TBBT) yang melibatkan peruntukan RM1.64 bilion di Segamat, Batu Pahat dan Ledang, proses pengambilan tanah juga telah dipercepatkan, yang membolehkan projek-projek itu diawalkan 12 bulan lebih awal daripada perancangan.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia akan terus mengukuhkan hubungan dengan negara lain dalam hal berkaitan perubahan iklim, tanpa mengira keputusan terkini Amerika Syarikat yang keluar daripada Perjanjian Paris.
“...sebagai Pengerusi ASEAN, saya lihat konsensus di ASEAN itu tidak berubah. Apakah kita mampu mempengaruhi dasar Amerika? Saya tidak fikir kita terlalu ambitious sampai ke situ. Cuma kita jaga rakan-rakan dan jaringan yang sedia ada,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq mengenai peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk memastikan negara barat, khususnya Amerika Syarikat kembali semula mengiktiraf isu perubahan iklim sebagai isu yang penting.
Dalam perkembangan lain Anwar berkata pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, dapat membantu ASEAN dalam beberapa perkara.
Beliau berkata tokoh itu telah membantu dalam menyegerakan projek Sungai Golok-Rantau Panjang dan mengadakan lawatan kerja ke tiga wilayah selatan Thailand, dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik yang telah lama berlarutan di wilayah itu.
“Malah beliau baru-baru ini ke Selatan Thailand memohon maaf atas isu Tak Bai dan beri jaminan akan bekerjasama dengan Malaysia untuk cuba menyelesaikan secara aman dan adil, masalah yang dihadapi di sana,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA