GAYA HIDUP

Rumah Putih Makan Berjambar Kembalikan Nostalgia Makan Berhidang Dulang, Duduk Bersila

25/02/2025 12:03 PM

Oleh Siti Fauziah Hasan

SEREMBAN, 25 Feb (Bernama) -- Tradisi orang Melayu makan bersila beramai-ramai dengan ahli keluarga semakin jarang dilihat di rumah-rumah dan mungkin mencetuskan kerinduan terutamanya bagi mereka yang pernah melalui suasana itu satu ketika dahulu.

Justeru, konsep yang ditawarkan oleh Rumah Putih Makan Berjambar di sini, mungkin pilihan tepat bagi mereka yang ingin mengimbau zaman itu. Lebih-lebih lagi menu ditawarkan oleh restoran yang pada asalnya sebuah rumah Melayu kampung ini adalah masakan tradisional Negeri Sembilan dan dihidangkan di dalam dulang.

Pemiliknya Asmah Osman, 59, berkata beliau mahu mencipta kelainan selepas melihat lambakan kafe hispter dan restoran berkonsep moden yang mempunyai ciri-ciri hampir sama.

pic-2

“Kedai makan ini sebenarnya rumah arwah ibu saudara saya yang ditinggalkan untuk anak-anaknya. Namun, mereka tinggal jauh dari negeri ini, membuatkan rumah ini terbiar kira-kira 20 tahun.

“Daripada melihat rumah ini terbiar, lebih-lebih lagi strukturnya masih utuh, saya minta izin sepupu untuk jadikan kediaman ibu mereka itu sebagai inap desa, namun kemudian, atas faktor tertentu, ditukarkan kepada rumah makan,” kongsinya kepada Bernama.

Menurutnya, beliau memilih konsep makan berjambar atau makan berhidang di dalam dulang kerana amat jarang pengusaha makanan menggunakan konsep tersebut.

pic-3

“Restoran dengan menu kampung memang banyak di negeri ini, tapi tidak ada yang makan berhidang di dalam dulang seperti kami,” jelasnya, menambah mereka juga menyediakan pilihan ruangan makan di meja bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Asmah berkata sejak beroperasi pada 31 Ogos tahun lepas, rumah makan itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setempat dan dari luar Negeri Sembilan.

“Pada mulanya kita buka hanya pada hari minggu, namun selepas menerima sambutan yang sangat menggalakkan, kita buka setiap hari kecuali Jumaat sejak bulan lepas,” katanya, menambah restoran itu juga akan beroperasi sepanjang Ramadan ini untuk pelanggan berbuka puasa.

pic-4

Menurut ibu kepada empat anak lelaki itu, mereka menawarkan lebih 30 jenis masakan tradisional Negeri Sembilan termasuk daging salai masak lemak cili api, daging jangek dan tempoyak daun kayu yang dimasak oleh anak ketiganya Muhamad Nur Fikry Sidek, 27.

Ditanya tentang perancangan masa depan, Asmah yang mempunyai sebuah lagi kedai makan namun dengan konsep biasa, berhasrat meluaskan perniagaan kedai makan berjambar itu ke daerah lain.

pic-5

Sementara itu, pelanggan Hanida Harun, 45, yang datang bersama-sama dengan keluarga dari Kuala Lumpur, menyifatkan konsep makan bersila dan makanan dihidangkan di dalam dulang tersebut sebagai sesuatu yang unik dan memberikan pengalaman berbeza kepada mereka.

“Kami memang penggemar makanan kampung, jadi memang sanggup datang (dari Kuala Lumpur) untuk menikmati makanan di sini dalam suasana seperti di kampung. Mereka juga tawarkan banyak pilihan (lauk),” katanya yang turut terpikat dengan dekorasi klasik di restoran itu.

-- BERNAMA

KEYWORDS
        
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396160