Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Pakaian tradisional bukan sekadar warisan yang wajar dipelihara, malah menjadi lambang perpaduan dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Mengambil semangat itu, sepasang pengantin berbangsa Cina menzahirkannya dengan memilih busana tradisional Melayu sebagai pakaian rasmi pada hari bahagia mereka, sekali gus mencuri perhatian ramai sehingga tular di media sosial.
Tampil sedondon dalam busana songket berwarna krim, lengkap dengan tanjak dan cucuk sanggul, De Yang dan Jie Lin bukan sahaja memukau hadirin malah turut diraikan dalam upacara penuh istiadat Melayu. Kehadiran mereka disambut dengan paluan kompang, upacara menepung tawar serta perarakan adat yang menjadi simbol keberkatan dalam perkahwinan Melayu.
pic-2
Jie Lin, 26, berkata inspirasi untuk menerapkan unsur budaya Melayu dalam perkahwinan mereka lahir daripada pengalaman perniagaan keluarga De Yang yang mempunyai ramai pekerja berbangsa Melayu.
“Majlis ini sebagai tanda penghargaan kepada staf serta keluarga mereka yang banyak menyokong dan menyayangi kami selama ini. Selain itu, kami juga ingin menghayati dan menghormati keindahan tradisi Melayu dalam meraikan cinta kami,” katanya kepada Bernama.
Majlis persandingan pasangan itu yang berlangsung di Dewan Dara, Muadzam Shah, Pahang pada 18 Feb lepas merupakan satu daripada tiga resepsi yang diadakan dengan kehadiran lebih 800 tetamu pelbagai bangsa.
pic-3
Menurut Jie Lin, idea untuk mengadakan majlis bertemakan adat Melayu itu dicadangkan oleh bapa dan datuk sebelah suaminya dan mendapat sokongan daripada ahli keluarga yang lain.
“Kami bertuah kerana menerima bantuan daripada pekerja suami yang berbangsa Melayu, yang membentuk sebuah jawatankuasa bagi memastikan segala persediaan dan perjalanan majlis berjalan lancar.
“Mereka bukan sahaja menyusun atur acara tetapi juga memberikan nasihat mengenai adat istiadat Melayu serta menerangkan kepentingan setiap tradisi dan cara mengikutinya dengan tepat,” katanya yang telah membuat persiapan sejak Ogos tahun lepas.
pic-4
Jie Lin berkata antara adat yang paling memberi kesan kepadanya ialah upacara menepung tawar dan merenjis yang melambangkan restu serta keberkatan orang-orang tua terhadap pasangan mempelai.
“Ia mengingatkan kami kepada upacara minum teh dalam tradisi Cina yang menekankan restu dan doa daripada keluarga sangat penting. Melalui pengalaman ini kami memahami bahawa setiap adat Melayu memiliki keunikan tersendiri yang menekankan nilai seperti keberkatan, kesopanan dan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Sebagai pelengkap majlis, menu tradisional Melayu seperti nasi beriani, ayam goreng berempah, daging gulai kawah, acar mentah, sate, cendol dan kambing golek menjadi hidangan untuk tetamu.
pic-5
Jie Lin yang merupakan seorang juruaudit berharap majlis persandingannya itu dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk meraikan kepelbagaian budaya dengan penuh harmoni.
“Kami berharap lebih ramai pasangan akan berani meraikan kepelbagaian budaya dalam perkahwinan mereka,” katanya.
-- BERNAMA