EKONOMI

Bank Rakyat Tambah Peruntukan BRIEF-i Kepada RM100 Juta, Sokong Usahawan India

25/02/2025 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Bank Rakyat mengumumkan penambahan peruntukan dana sebanyak RM50 juta bagi program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i), menjadikan jumlah keseluruhan dana kepada RM100 juta, susulan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif tersebut.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata langkah itu mencerminkan komitmen Bank Rakyat di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dalam menyokong serta memperkasakan usahawan tempatan, khususnya komuniti perniagaan India.

“Ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memperkasakan sosioekonomi masyarakat India.

“Semoga usaha ini terus diperkasakan demi memastikan lebih ramai usahawan dapat berkembang dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i, di sini hari ini.

Ramanan berkata setakat 21 Feb, BRIEF-i telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM49 juta kepada 512 usahawan di seluruh negara, sejak diperkenalkan pada Jun 2024.

Dalam memperkasakan lagi inisiatif BRIEF-i, Ramanan berkata pemohon yang diluluskan boleh terus mendapatkan perkhidmatan konsultansi halal daripada Bank Rakyat, sekali gus memudahkan proses permohonan sijil halal kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan yang ingin memperluaskan pasaran mereka melalui pensijilan halal, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi halal di Malaysia.

“Kita bukan mahu memaksa sesiapa mendapatkan sijil halal, sebaliknya ini penambahbaikan kepada perniagaan mereka dengan adanya sijil halal,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai BRIEF-i boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my atau https://ar2e.bankrakyat.com.my, selain mengunjungi mana-mana Pusat Perbankan Perniagaan Bank Rakyat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396232