EKONOMI

MTCDP Sokong Pertumbuhan 348 MTC Sehingga Kini - MATRADE

25/02/2025 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berhasil dalam memperkasakan dan membimbing 348 syarikat pertengahan (MTC) daripada pelbagai sektor melalui Program Pembangunan Syarikat Pertengahan (MTCDP) sehingga kini.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MTC Malaysia telah menunjukkan daya tahan luar biasa dalam menghadapi cabaran global yang semakin sukar.

Beliau berkata walaupun menghadapi landskap ekonomi yang mencabar, bekas peserta MTCDP telah berjaya berkembang ke pasaran eksport baharu, mengamalkan amalan kemampanan, menerima guna pendigitalan dan melonjakkan penjenamaan global masing-masing.

“MTC kita sentiasa menunjukkan komitmen yang teguh untuk memperkukuh kehadiran global mereka.

“Ini menunjukkan peranan penting MTCDP sebagai program pembangunan pengeksport berimpak tinggi, memacu pertumbuhan eksport dan meningkatkan daya saing global," katanya pada majlis Graduasi MTCDP Gelombang 10 dan pelancaran Gelombang 11 di sini, pada Selasa.

Reezal Merican berkata MATRADE akan terus bekerjasama dengan rakan strategik untuk mengukuhkan kehadiran antarabangsa bagi MTC Malaysia.

Langkah itu termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman dengan Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) untuk memupuk pengembangan perniagaan yang lebih luas dan mampan dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman kolektif bagi menempa kerjasama strategik.

“Kerjasama ini akan menumpukan kepada tiga bidang utama -- pembangunan kapasiti perniagaan, memperluas akses pasaran, dan kepimpinan dalam pasaran halal,” katanya.

MTCDP menyasarkan MTC yang berorientasi eksport dengan perolehan tahunan antara RM50 juta hingga RM500 juta bagi syarikat pembuatan dan RM20 juta hingga RM500 juta bagi penyedia perkhidmatan.

Sebanyak 24 MTC telah menamatkan Gelombang 10, manakala 22 MTC baharu telah diterima bagi kohort Gelombang 11 hari ini.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396447