AM

KPWKM Terus Perjuang Pemerkasaan Wanita Mengikut Lunas Perundangan - Noraini

25/02/2025 06:58 PM

SEREMBAN, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memperjuangkan pemerkasaan wanita mengikut lunas perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kesaksamaan gender antara isu yang sering diperkatakan dan ia merujuk kepada konsep pemberian hak serta peluang sama kepada semua tanpa sebarang diskriminasi. 

Beliau berkata Malaysia menunjukkan komitmen meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), dengan beberapa pengecualian bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan Islam.

“Kesaksamaan gender tidak bermaksud semua hak dan peluang kaum lelaki akan diambil oleh wanita tetapi kedua-dua kaum ini dapat berkongsi peluang tanpa diskriminasi perbezaan gender. Perkongsian ini menguntungkan negara kerana dapat mengguna pakai sumber tenaga manusia secara optimum," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Zon Tengah di Pusat Konvensyen Casa Lagenda (CLCC) Senawang di sini hari ini.

Beliau berkata wanita menjadi tulang belakang institusi keluarga, komuniti dan negara selain memberi inspirasi perubahan masa depan, namun masih ada segelintir kaum itu menghadapi pelbagai halangan dan rintangan dalam banyak aspek kehidupan di tempat kerja, rumah atau dalam masyarakat secara umum.

“Kita masih melihat jurang dalam gaji, kekurangan wakil rakyat dalam jawatan kepimpinan serta perjuangan berterusan melawan keganasan dan diskriminasi,” katanya.

Beliau menyeru kepada semua pihak agar bersama-sama memastikan suara wanita sentiasa didengari, hak mereka dihormati dan potensi mereka direalisasi. 

Noraini berkata wanita mempunyai keupayaan luar biasa, menjadi seorang pemimpin sehingga suri rumah tangga, dan wanita juga mampu mengimbangi pelbagai peranan tanpa pernah mengorbankan kekuatan dan keupayaan mereka. 

Selain itu, beliau berkata dalam konteks era moden ini, sumbangan wanita boleh dilihat dalam pelbagai sektor seperti penggubal dasar, pendidik, Lembaga Pengarah di syarikat swasta serta industri perkilangan dan juga usahawan yang membantu untuk memacu ekonomi negara.

“Malaysia tidak akan maju tanpa peranan dan sumbangan wanita kerana mereka ini bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan keluarga tetapi juga menjana pendapatan negara dengan menjadi tenaga buruh yang aktif dan produktif,” katanya.

Sementara itu, lebih 20 reruai dibuka pada sambutan hari ini, yang dihadiri lebih 1,000 wanita di negeri ini selain dimeriahkan dengan pelbagai program dan aktiviti sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa Zon Tengah di sini bertemakan Wanita Beraspirasi Membina Legasi.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396434