JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Warga Emas Tular Curi Duit Kahwin Dipenjara 24 Bulan, Denda RM3,000

25/02/2025 04:39 PM

PASIR MAS, 25 Feb (Bernama) -- Seorang wanita warga emas dihukum penjara 24 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri wang pada majlis perkahwinan yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi menjatuhkan hukuman itu selepas Tuan Maimun Che Tuan, 61, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, Tuan Maimun didakwa mencuri wang  RM2,500 milik Norhayati Mohd Noor, 59, di Kampung Tasek Berangan di sini pada 12.42 tengah hari, 1 Feb lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan mengambil kepentingan awam berikutan kes berkenaan mendapat perhatian umum.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nur Amira Mat yang mewakili Tuan Maimun memohon hukuman ringan kerana faktor usia anak guamnya selain dia mempunyai masalah kesihatan yang masih memerlukan rawatan seperti darah tinggi, kolestrol dan usus.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 38 saat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang wanita menyamar sebagai tetamu menumpang menggunakan tandas di sebuah rumah ketika majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan pada 1 Feb lepas, sebelum melarikan wang tunai RM2,500 milik pengadu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396314